Home Berita PAS Melaka

Wanita PN Melaka bentuk organisasi, gerak program promosi PN – Azalina

680
SHARE

Oleh SITI SALWANI MOHD KASSIM

HANG TUAH JAYA, 31 Mac : Pengerusi Wanita Perikatan Nasional (PN) Negeri Melaka, Azalina Abd Rahman berkata pembentukan organisasi badan wanita ini adalah merupakan langkah awal bagi menggerakkan program mendekati rakyat dan mempromosi PN.

Tambah Azalina lagi, penubuhan Jawatankuasa Wanita PN Negeri Melaka ini selaras dengan penubuhan PN Negeri Melaka yang dibentuk pada 23 Januari lalu.

Beliau yang juga merupakan Ketua Srikandi Bersatu Negeri Melaka mengharapkan program ziarah dan pemberian sumbangan bakul makanan dapat dijalankan bersama Muslimat PAS dan Wanita Gerakan.

Menurut Azalina lagi, rakyat mahukan perubahan dan Perikatan Nasional kini dilihat sebagai parti yang bekerja untuk membantu mereka.

“Amat penting untuk kita terus rapat di hati mereka, jadi kena kerja kuat untuk menang (PRU15)”, ujarnya.

Mesyuarat yang bertempat di Pejabat Bersatu Hang Tuah Jaya, di sini, kelmarin ini menyaksikan Wanita PN Melaka telah berjaya membentuk organisasi lengkap secara rasmi.

Struktur organisasi itu terdiri daripada gabungan ahli jawatankuasa sayap tiga parti iaitu Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Srikandi Bersatu Negeri Melaka dan Wanita Gerakan Negeri Melaka.

Sementara itu Timbalan Pengerusi 1 Wanita PN Melaka, Aziah Mohd Saad dalam ucapannya meraikan titik persamaan antara ketiga-tiga parti dalam membentuk kerjasama ini dan berharap Wanita PN merangka kerja-kerja dengan ikhlas kerana Allah.

“Kalau kita ikhlas, Allah akan campakkan kemenangan buat kita”, tambah beliau yang juga merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka itu.

Bagi Ketua Wanita Gerakan, Diana Ng Meng Fang pula memberi komitmen bahawa ahli-ahli jawatankuasa Wanita Gerakan sedia turun padang menyertai program yang dirangka oleh kedua-dua parti sekutu.

Turut hadir di dalam mesyuarat ini adalah Ahli Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Serikandi Bersatu Negeri Melaka dan Ahli Jawatankuasa Wanita Gerakan Negeri Melaka.