Home Berita PAS Kelantan

Wanita Kelantan hebat dalam pelbagai bidang – Dato’ Mumtaz

150
SHARE

KOTA BHARU, 19 Jul: Wanita di Negeri Cik Siti Wan Kembang terkenal dengan sifat cekal dan gigih berusaha sejak dari dulu lagi membuatkan mereka sehingga hari ini dapat menempa kejayaan dalam pelbagai bidang yang diceburi sehingga dapat mengukir nama ke persada antarabangsa.

“Kerajaan Negeri dalam rangka mewujudkan Genius Aqbariah sebagai platform untuk menghimpunkan wanita Kelantan yang berjaya bagi menyumbang semula tenaga dan idea mereka kepada pembangunan negeri Kelantan.

“Genius Abqariah ialah program kecemerlangan wanita berdasarkan Hala Tuju Kelantan Melangkah Ke Hadapan (2018-2023),” kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Mumtaz Md Nawi pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14, hari ini.

Menjawab persoalan yang diajukan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemuning, YB Mohd Roseli Ismail berkenaan dengan kejayaan yang telah dicapai oleh para wanita Kelantan dalam bidang akademik, beliau berkata berdasarkan statistik dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menunjukkan peningkatan kemasukan pelajar wanita Kelantan ke pusat pengajian tinggi bagi tahun 2018, 2019 dan 2020.

“Pelbagai pengiktirafan juga telah diperolehi wanita Kelantan di dalam dan luar negara dalam bidang pendidikan. Antara wanita Kelantan yang berpengaruh di Malaysia ialah Yang Amat Arif Tun Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebagai wanita pertama dilantik menjadi Ketua Hakim Negara Malaysia,” katanya.

Dalam aspek ekonomi pula, Dato’ Mumtaz menjelaskan Kelantan merekodkan 7,916 usahawan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada tahun 2021 yang berdaftar melalui Bahagian Pembangunan Usahawan Desa. Jumlah tersebut menjadikan Kelantan negeri kedua tertinggi di Malaysia selepas Selangor.

Menurutnya lagi, Kerajaan Negeri dengan kerjasama Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita (U-KeKWa) juga komited dalam membangunkan usahawan wanita melalui penubuhan Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) dan sejak tahun 2006 sehingga tahun 2022, seramai 3,927 pelatih telah berjaya bergraduasi.

Sementara itu, tambahnya lagi berkenaan kejayaan wanita Kelantan dalam bidang politik pula ialah sepuluh pemimpin wanita telah dipilih dan dilantik sebagai wakil rakyat, senator, exco dan juga Timbalan Menteri.

“Fakta menariknya ialah lima orang telah dilantik semasa beliawanis iaitu antara usia 30 hingga 40 tahun dan lima orang lagi dilantik selepas usia 41 tahun ke atas,” ujarnya.