Home Berita PAS Wilayah

Wanita hidup bermaruah dan terpuji dengan Islam

1181
SHARE

 

Oleh: Wan Syahirah Wan Jafri

BATU – Datangnya Islam kepada umat manusia telah menghapuskan segala kepercayaan karut yang merendahkan wanita lantas memuliakan golongan ini dari pelbagai aspek.

Demikian tegas Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Dr. Nur Hasiba Kamaruddin dalam pidato beliau bertemakan ‘Wanita dan Agama’ di Himpunan Wanita Muafakat Nasional peringkat Wilayah Persekutuan di sini 16 Februari lalu.

“Islam sangat memperhatikan hak-hak kaum wanita dan mensyariatkan hukum-hukum yang agung untuk menjaga dan melindungi mereka seperti hak memiliki dan menguruskan harta sendiri.

“Mereka juga berhak untuk menjamin keselamatan atau memberi perlindungan kepada sesiapa sahaja sebagaimana janji Rasulullah SAW untuk melindungi sesiapa saja yang diberi perlindungan oleh Ummu Hani’ binti Abu Talib.

“Islam juga telah membina jati diri wanita sehingga menjadi komponen penting dalam pembangunan sesebuah tamadun,” jelasnya lagi.

Beliau memberi contoh Saidatina Khadijah R.A yang unggul dalam penguasaan ekonomi, Saidatina Aisyah R.A yang hebat dalam pendidikan dan politik sehingga dianggap sebagai mujtahid wanita serta Saidatina Fatimah R.A yang menjadi contoh terbaik dalam bersabar dengan urusan rumahtangga.

Menurut beliau lagi, mantapnya keperibadian seseorang wanita itu adalah kerana teguhnya Islam dalam dirinya.

“Namun begitu, kita menyelar tindakan segelintir yang cuba merentap identiti wanita Islam dengan tuduhan seperti Islam tidak berlaku adil terhadap wanita serta menuntut hak-hak yang tidak sepatutnya seperti kesamarataan gender.

“Hal ini berlaku disebabkan dua faktor, iaitu suatu propaganda terancang untuk memburuk-burukkan Islam dan kurangnya penghayatan Islam yang sebenar dalam diri wanita Islam itu sendiri,” ujarnya lagi.

Lantaran itu, beliau mengajak semua peserta himpunan untuk bermuhasabah serta memantapkan penghayatan terhadap Islam agar dapat menjadi benteng untuk mempertahankan agama ini.

“Tulislah tinta kebaikan dan kebenaran tentang keindahan Islam sama ada di media sosial mahupun media cetak. Berkerjaya dan berniagalah dengan menerapkan nilai-nilai Islam serta berinfaqlah untuk menyuburkan lagi kerja-kerja perjuangan ini,” seru beliau lagi.

Antara saranan beliau juga ialah muslimat perlu mempamerkan akhlak mulia untuk menunjukkan ‘izzah atau kemegahan agama Islam kepada masyarakat.

Seterusnya, beliau sempat mengajak para hadirin mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin yang jelas akan prinsip-prinsip Islam.

Antara ciri-ciri kepimpinan Islam yang dikongsikan ialah konsep UMI iaitu Ubudiyyah (penyembahan semata-mata kepada Allah), Mas’uliyyah (bertanggungjawab dengan amanah) dan Itqan (bekerja dengan bersungguh-sungguh).

Menutup pidatonya, beliau menyeru semua hadirin agar berperanan menjaga agama dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara seluruhnya.