Home Berita PAS Kelantan

Wakil rakyat adalah guru- YB Wan Roslan

261
SHARE

oleh Norzana Razaly

TUMPAT, 16 Mei: 16 Mei menyaksikan saban tahun jasa bakti pendidik bermula dari cikgu tadika sehingga pensyarah di institusi pengajian tinggi termasuklah murabbi pondok, diraikan semulia-mulianya oleh segenap lapisan masyarakat.

Fenomena guru menjadi wakil rakyat amat popular para era 50-an hingga 80-an kerana dahulu kerjaya itulah satu-satunya profesyen yang menonjol dalam kalangan masyarakat. Tetapi memasuki zaman millenium senario tersebut suram sedikit akibat kecenderungan rakyat memilih golongan profesional dan ahli korporat yang dianggap lebih bijak dan berduit sebagai penyampai suara mereka di dalam sidang Dewan Undangan Negeri mahupun parlimen.

Namun, hal demikian tidak tenggelam dalam senario politik Kelantan kerana menurut YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, profesyen keguruan ini sentiasa menepati keadaan siasah semasa kerana cikgu itu murabbi sepanjang zaman berbekalkan ilmu pedagogi dan kursus induksi.

Menurut beliau, Menteri Besar Kelantan terdahulu dan yang terkini termasuk juga Timbalan Menteri Besar, beberapa saf pimpinan Kerajaan Kelantan serta wakil rakyat masa kini adalah mantan guru.

Sebab itulah Kelantan tersohor dengan kuliah Jumaat di Medan Ilmu bimbingan para wakil rakyat sehingga digelar Universiti Terbuka dan corak kepimpinan negeri Kelantan pula berteraskan prinsip belajar dan mendidik seumur hidup melalui slogan Membangun Bersama Islam.

Mengimbas rekod kerjaya dalam arena pendidikan, YB Wan Roslan mula berkhidmat di Maahad Pengajian Islam pada Mei 1994. Enam bulan kemudian, beliau menjadi pengetua termuda di SMU (A) Taqaddum Maarif Pasir Tumbuh pada 1 Januari 1995; namun usia bukan penghalang beliau mengurus tadbir sekolah dengan baik sehingga sekolah itu mencipta rekod sebagai sekolah rakyat pertama mendapat 9A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) terbaik di peringkat Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Kecemerlangan kepimpinan beliau disebut-sebut apabila sekolah Maahad Muhammadi Lelaki di bawah kepimpinannya meraih kejayaan dalam aktiviti kokurikulum seperti Johan Forum Remaja Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2003.

Berpegang kepada falsafah melahirkan pelajar yang cemerlang dari aspek akademik dan kepimpinan, beliau merintis jalan membawa pengetua-pengetua Maahad dan Sekolah Agama Negeri mengikuti kursus di Institut Aminuddin Baki bagi menajamkan ilmu kepengetuaan.

“Hakikatnya, sepanjang hayat kita berada dalam sekolah kehidupan. Proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan organisasi dan juga interaksi guru-pelajar berlaku setiap masa dan di mana-mana sahaja khususnya bermula di rumah.” Hurai bapa kepada sepuluh orang anak (majoritinya penghafaz al-Quran) yang sudah berjaya dan sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

Seterusnya, penggemar buku “Tarbiyatul Aulad” karangan Abdullah Nasir Ulwan dan buku “Haraki” tulisan Said Hawa itu berkongsi pengalaman kerjaya guru yang amat memberi kelebihan kepadanya kerana dari aspek sahsiah, beliau dapat meneruskan susulan tarbiyah daripada pelajar berusia remaja (13-17 tahun) menjadi belia bermaruah (18-40 tahun) berpandukan kefahaman tafsiran surah al-Kahfi: 13 dan 14.

Beliau turut mengingatkan, Islam tidak menghalang umatnya bersukan. Amatlah berbaloi semasa bersukan para atlet berniat ibadat. Rekod sukan dunia mencatatkan atlet yang menutup aurat berjaya mendapat pingat emas dalam acara olahraga.

Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor itu menegaskan, skil faktor utama kejayaan bukan pakaian menjadi penghalang. Maka penubuhan Kelantan United adalah manifestasi slogan “Merakyatkan Membangun Bersama Islam” menampilkan atlet yang menutup aurat, cakna solat dan gemar mengaji al-Quran sebagai alternatif kepada peminat bola sepak.

Dalil itu juga menjadikan YB Wan Roslan sentiasa peka kepada pelan pembangunan lima tahun hala tuju belia bermaruah dengan mewujudkan pusat belia Kelantan berpusat di Medan Usahawan Kota Bharu untuk merancang aktiviti masa depan belia dari aspek akademik dan kerjaya patuh syariah.

#SelamatHariGuru2021 #BerguruDemiIlmuBinaGenerasiBaharu