TAMAN DESA MUTIARA– Pada 29 Oktober 2017 yang lalu, jam 9 malam wakil dari pejabat Adun Puteri Wangsa iaitu Encik Sazali Bin Siron telah datang ke flat PPR Taman Desa Mutiara untuk memantau masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat di flat ini.
Antara masalah yang diutarakan ialah lampu jalan yang tidak berfungsi, sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik dan masalah gejala sosial dalam kalangan anak remaja yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, masalah ini telah dibawa ke sidang Dun Negeri Johor sebanyak dua kali iaitu pada bulan Mei dan September 2017 oleh YB Ustaz Abdullah Bin Husin.
Pihak Exco Negeri Johor sudah sedia maklum berkenaan masalah ini, tetapi sehingga kini tiada tindakan yang dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab seperti Majlis Bandaraya Negeri Johor dan lain-lain.
“Kita akan bawa lagi isu ini dalam sidang Dun pada 23 November 2017 dan saya akan memastikan bahawa isu
ini akan diselesaikan oleh pihak yang bertanggungjawab bukan hanya dicatat di atas kertas”, ujar Encik Sazali.
Beliau juga memaklumkan berkenan hubungan yang baik telah terjalin antara masyarakat flat ini dengan pihak pejabat Adun Puteri Wangsa. Kerjasama yang baik ini juga terjalin antara pimpinan flat Taman Desa Mutiara termasuklah Encik Razak Ketua Kampung, Encik Nasir Mantan Pengerusi Persatuan Penduduk dan orang-orang lama flat Taman Desa Mutiara seperti Pak Abas dan lain-lain.
“Kami sentiasa mendengar dan cuba menyelesaikan apa sahaja masalah yang dihadapi oleh masyarakat di sini. Selepas ini, jika ada masalah, penduduk boleh buat aduan kepada saya atau melalui jawatankuasa PAS Cawangan Kampung Kangkar Tebrau atau secara ‘online’ dalam sistem e-jawab di mana aduan anda akan disalurkan terus kepada jabatan yang berkenaan tetapi jika masih tiada tindakan, pihak kami akan bawakan masalah penduduk ke sidang Dun”, ujarnya lagi.
Turut bersama dengan Encik Sazali adalah Puan Noor selaku Ketua Muslimat PAS Cawangan Kampung Kangkar Tebrau. Semoga segala urusan dipermudahkan dan dapat diselesaikan dengan sempurna.