Home Berita PAS Perlis

Kegagalan Sistem Pendidikan Negara Punca Kepincangan Masyarakat

2110
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

ARAU : Pelbagai bentuk kepincangan yang wujud dalam masyarakat pada hari ini berpunca daripada kegagalan sistem pendidikan yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan, demikian menurut Russele Eizan, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Perlis.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Arau, di Balai Islam MADI, pada 12 November 2017.

Menurutnya, ini kerana sistem pendidikan yang ada pada hari ini sebenarnya lebih memberi penekanan kepada aspek akademik sehingga mengabaikan aspek pembangunan kerohanian para pelajar itu sendiri.

Justeru ujarnya, tidak hairanlah jika generasi yang ada pada hari ini sangat mudah terdedah kepada pelbagai gejala yang tidak sihat yang akhirnya bukan sahaja merosakkan mereka bahkan merugikan negara.

Beliau menambah, meskipun telah wujud kesedaran di kalangan masyarakat mutakhir ini akan kepentingan pendidikan Islam terhadap anak-anak, bilangan sekolah agama yang disediakan oleh kerajaan pula amatlah terhad.

“Kita lihat, permintaan ibu bapa terhadap sekolah-sekolah agama cukup banyak, bahkan ibu bapa semakin sedar akan kepentingan memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak agar mereka menjadi generasi yang soleh.”

“Tapi malangnya, sistem pendidikan yang ada pada hari ini gagal memenuhi hasrat mereka (ibu bapa) manakala kerajaan pula gagal menyediakan kemudahan sekolah-sekolah agama yang mencukupi bagi memenuhi permintaan yang ada.”

“Maka kita (PAS) berusaha menyediakan prasarana dan sistem pendidikan berteraskan al-Quran dan as-Sunnah ini, mengikut kemampuan yang kita ada, kerana kita mahu memastikan generasi yang mewarisi negara suatu hari nanti adalah generasi yang
baik yang lahir daripada acuan pendidikan Islam,” katanya lagi.