Home Minda Presiden

Wajib berjihad mempertahankan Bait Al-Maqdis

216
SHARE


Minda Presiden PAS
[Bil: 18 / 2024]
WAJIB BERJIHAD MEMPERTAHANKAN BAIT AL-MAQDIS


Hukum Islam daripada semua mazhab Ahli Kiblat yang menghadap ke arah Rumah Allah (Baitullah) di Makkah mewajibkan seluruh umat berjihad mempertahankan Bait al-Maqdis, kiblat pertama umat Islam, tempat berlakunya Isra’ Rasulullah SAW, dan bermulanya Mi‘raj, kecuali kalangan penganut Islam yang memisahkan agama dan politik dengan memandang jihad itu suatu perkara yang remeh-temeh. Hal ini demikian kerana, kiblat politiknya menghadap Rumah Putih (White House) di Washington, walaupun masing-masing melaksanakan solat, haji, dan umrahnya menghadap Rumah Allah di Makkah. Inilah bencana aqidah yang sedang menimpa umat Islam.

Syabas diucapkan kepada Kerajaan Republik Islam Iran yang secara rasmi mengisytiharkan Jumaat akhir Ramadan sebagai Minggu Bait al-Maqdis sejak menangnya revolusi Islam di sana, yang perubahannya ditolak oleh beberapa pihak yang dikatakan paling kuat berpegang kepada Sunnah hanya disebabkan Iran bermazhab Syiah Imamiyyah, walaupun Muktamar Majma‘ al-Fiqh al-Islami al-Duwali anjuran Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Makkah dan Majma‘ al-Buhuth al-Islamiyyah di al-Azhar, Mesir mengisytiharkan Syiah Imamiyyah termasuk dalam Ahli Kiblat dan umat Islam yang satu.

Namun, mereka boleh pula mengiktiraf Iran pada masa pemerintahan Shah Iran yang ketika itu mengiktiraf Israel sebagai negara yang sah mengikut fatwa Rumah Putih di Washington, lalu disokong oleh beberapa orang ulama’ upahan rasmi, khususnya yang berbangsa Arab kerana semangat kebangsaannya pernah menjemput penjajah bagi menjatuhkan kuasa besar Islam lebih 100 tahun yang lalu.

Langkah Iran hari ini yang mendahului OIC adalah sangat dialu-alukan, kerana keadaan kini lebih terpanggil untuk wajibnya menyahut seruan jihad bagi menentang Zionis yang sedang menggila menceroboh Masjid al-Aqsa dan paling mengganas di Gaza. Khususnya, apabila mendengar seruan Allah SWT yang berfirman dalam al-Quran:

﴿وَمَا لَكُمۡ لَا تُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ وَٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَآ أَخۡرِجۡنَا مِنۡ هَٰذِهِ ٱلۡقَرۡيَةِ ٱلظَّالِمِ أَهۡلُهَا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ وَلِيّٗا وَٱجۡعَل لَّنَا مِن لَّدُنكَ نَصِيرًا ٧٥ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ يُقَٰتِلُونَ فِي سَبِيلِ ٱلطَّـٰغُوتِ فَقَـٰتِلُوٓا أَوْلِيَآءَ ٱلشَّيْطَـٰنِ ۖ إِنَّ كَيْدَ ٱلشَّيْطَـٰنِ كَانَ ضَعِيفًا ٧٦﴾

“Mengapa kamu tidak mahu berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki-lelaki, wanita-wanita, mahupun anak-anak yang semuanya berdoa, ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang zalim penduduknya, serta berilah kami pelindung daripada sisi Engkau dan berilah kami penolong daripada sisi Engkau!’ (75) Orang-orang yang beriman berperang di jalan Allah, manakala orang-orang yang kafir berperang di jalan taghut. Oleh sebab itu, perangilah kawan-kawan syaitan itu, kerana sesungguhnya, tipu daya syaitan itu adalah lemah. (76)” [Surah al-Nisa’: 75–76]

Sebab turun ayat-ayat tersebut pada awalnya kerana peristiwa penindasan yang berlaku di Makkah pada zaman awal Islam. Kini, peristiwanya berulang di Gaza dan Bait al-Maqdis serta di kawasan sekelilingnya.

Penduduknya adalah daripada kalangan mazhab Ahli Sunnah. Malangnya, mereka yang bermazhab Syiah lebih mendahului ke hadapan dengan membantu melalui persenjataan dan ikut berperang bersama rakyat umum negara Islam yang tampil ke hadapan. Akan tetapi, malangnya, kerajaan masing-masing yang dikatakan kuat Ahli Sunnahnya sangat mengecewakan kerana kiblat politiknya ke arah Rumah Putih. Hanya solat, haji, dan umrahnya sahaja menghadap Rumah Allah di Makkah sehingga pergi ke sana berulang kali.

Sepatutnya, perkara ini wajib diberikan perhatian kerana yang menceroboh itu ialah kaum yang paling dimurkai Allah dan paling bermusuh terhadap umat Islam, sehingga hal ini disebutkan dalam al-Quran dan kita mengulanginya dalam setiap rakaat solat:

﴿… غَيۡرِ ٱلۡمَغۡضُوبِ عَلَيۡهِمۡ … ٧﴾

“…(Wahai Tuhan kami), kami tidak mahu menjadi kaum yang dimurkai-Mu…” [Surah al-Fatihah: 7]

Merekalah kaum paling zalim kerana membunuh para anbiya’ dan ulama’, di samping mempermainkan kitab Allah dan hukum-Nya. Firman Allah SWT:

﴿… وَضُرِبَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلذِّلَّةُ وَٱلۡمَسۡكَنَةُ وَبَآءُو بِغَضَبٖ مِّنَ ٱللَّهِۗ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمۡ كَانُواْ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّۗ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَواْ وَّكَانُواْ يَعۡتَدُونَ ٦١﴾

“…Lalu ditimpakanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta mereka mendapat kemurkaan daripada Allah. Hal itu (terjadi) kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan. Demikian itu (terjadi) kerana mereka selalu berbuat derhaka dan melampaui batas.” [Surah al-Baqarah: 61]

Firman Allah SWT:

﴿إِنَّ ٱلَّذِينَ يَكۡفُرُونَ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ وَيَقۡتُلُونَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ بِغَيۡرِ حَقّٖ وَيَقۡتُلُونَ ٱلَّذِينَ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡقِسۡطِ مِنَ ٱلنَّاسِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ٢١ أُوْلَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ حَبِطَتۡ أَعۡمَٰلُهُمۡ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِ وَمَا لَهُم مِّن نَّـٰصِرِينَ ٢٢﴾

“Sesungguhnya, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Allah, membunuh para nabi yang memang tidak dibenarkan, dan membunuh orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah mereka bahawa mereka akan menerima seksa yang pedih. (21) Mereka itu ialah orang-orang yang lenyap (pahala) amal-amal mereka di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak memperoleh penolong. (22)” [Surah Ali ‘Imran: 21–22]

Firman Allah SWT:

﴿۞لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَٰوَةٗ لِّلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشۡرَكُواْۖ … ٨٢﴾

“Sesungguhnya, kamu mendapati orang-orang yang paling keras permusuhan mereka terhadap orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrik…” [Surah al-Ma’idah: 82]

Kita menyaksikan gabungan Zionis Yahudi dan Zionis Kristian Musyrikin menyerang Palestin, khususnya di Gaza.

Amerika Syarikat dan Eropah bergabung dalam pasukan Ahzab dengan memberi bantuan dari sudut persenjataan dan kewangan sebanyak-banyaknya kepada Zionis Israel, selain berpura-pura bersama-sama negara Arab dan Islam membantu sedikit bantuan kemanusiaan, serta berlagak menjadi pendamai bagi memberikan nafas kepada Zionis Israel yang cemas mengalami banyak kekalahan dalam medan perang senjata, media, dan diplomatik. Keadaan ini mengulangi langkah pada tahun 1948 ketika para mujahidin menentang penubuhan negara haram Israel supaya diberikan peluang mendapat pengiktirafan antarabangsa, termasuk beberapa negara Arab dan Islam.

Kini, mereka menukar dengan strategi penubuhan dua negara (two-state solution) yang ditolak oleh Israel, sedang negara Islam dan Arab didesak melakukan normalisasi terhadap Israel, dalam keadaan Israel dibiarkan terlampau mengganas dan makin mengganas.

Malangnya, al-Quran makin sedap dibaca serta banyak dicetak dan dibahagikan secara percuma, tetapi seruan jihadnya diletak ke belakang.

Namun begitu, Allah SWT berfirman:

﴿ هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨﴾

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) di jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang kikir. Dan sesiapa yang kikir, sesungguhnya dia hanyalah kikir terhadap dirinya sendiri. Dan Allah itulah Tuhan Yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya). Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 25 Ramadan 1445 / 5 April 2024