Home Berita PAS Johor

Veteran tentera, anak jati tempatan calon PN Tenggara

1332
SHARE

Oleh M RAZIF JAMAL

TENGGARA, 02 Nov : Perikatan Nasional mengumumkan bekas pegawai tentera, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon PAS-PN bagi kerusi Parlimen P155 Tenggara, pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 kali ini.

Pengumuman calon-calon yang akan bertanding mewakili Perikatan Nasional telah diumumkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhiyiddin Yassin dalam satu perjumpaan khas di Malaysia International Trade Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur, malam tadi.

Dalam ucapan TSMY, Perikatan Nasional akan meletakkan calon di 169 kerusi parlimen bagi menghadapi PRU-15 kali ini.

Nazari, 61, merupakan anak jati tempatan iaitu generasi kedua Felda Bukit Besar, dipertaruhkan dalam menambat hati pengundi di Parlimen Tenggara.

Pengalaman besar beliau dalam bidang pengurusan dan ketenteraan, serta sikapnya yang mudah mesra dengan masyarakat setempat melayakkannya untuk menjadi wakil suara rakyat di sini.

Beliau sebelum ini pernah menjadi tumpuan seluruh negara setelah diberi kepercayaan melawan DS Anwar Ibrahim, dengan bertanding sebagai calon PAS di kerusi Parlimen Port Dickson pada Pilihan Raya Kecil P132 yang diadakan pada September 2018.

Nazari juga antara empat calon PAS yang bertanding dibawah PN Johor, dijangka akan bertembung dengan calon Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bagi merebut kerusi berkenaan

Pada PRU-14 yang lalu, P155 Tenggara telah dimenangi oleh Datuk Seri Dr Adham Baba (BN) dengan majoriti undi 5,933 mengalahkan calon PAS, Cikgu Yuhanita (2,683 undi) dan calon PH, Norjepri M.Jelani (14,209 undi).

Sebelum ini, Negeri Johor telah mengadakan Pilihanraya Negeri pada Mac yang lalu dan Barisan Nasional mendapat 40 kerusi, Perikatan Nasional (3), PH (12) dan Muda (1).

PRU 15 diadakan setelah Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lepas oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri setelah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah,

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon adalah pada 5 November manakala pengundian awal pada 15 November dan tarikh keluar mengundi pada 19 November.