Home Berita PAS Melaka

Ustazah K berpesan-pesan | Total lockdown – Tindakan kita menghadapi wabak

259
SHARE

BERIKUTAN penularan pandemik Covid-19 yang semakin kritikal dengan kemunculan varian-varian baharu, serta pertambahan bilangan positif Covid-19 yang naik mendadak, baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan supaya ‘total lockdown‘ dilaksanakan selama dua minggu di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

Oleh itu, sewajarnya kita mematuhi perintah ‘total lockdown‘ ini dengan penuh disiplin sama ada suka ataupun tidak sebagai salah satu tanggungjawab rakyat kepada pemerintah. Sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis:

وَعَنْ ابن عمر رَضِيَ اللهُ عَنْهما عَن النبي صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم قَالَ :

عَلى المَرْءِ المُسْلِم السَّمْعُ والطَّاعَةُ فِيما أَحَبَّ وكَرِهَ، إِلاَّ أنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ فَإذا أُمِر بِمعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلا طاعَةَ. (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ)

Dari Ibn Umar ra. dari Nabi SAW bersabda:

“Wajib atas setiap Muslim untuk mendengar serta mentaati, baik dalam hal yang ia senangi dan yang ia benci, kecuali jika ia diperintah untuk sesuatu kemaksiatan. Maka apabila ia diperintah (oleh penguasa pemerintahan) dengan sesuatu kemaksiatan, maka tidak boleh ia mendengarkan perintahnya itu dan tidak boleh pula mentaatinya.”
(Muttafaq ‘alaih)

Bahkan, kaedah ini bersesuaian sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dalam menghadapi wabak supaya orang luar tidak masuk ke tempat yang sedang ditimpa wabak manakala orang tempatan tidak keluar daripada tempat yang sedang dilanda wabak tersebut.

Semua kesulitan dalam tempoh ini bukanlah satu perkara yang sia-sia, malah dijanjikan Allah dengan ganjaran pahala jika kita bersabar dengannya seperti sabda Rasulullah SAW:

ليسَ مِن أحَدٍ يَقَعُ الطّاعُونُ، فَيَمْكُثُ في بَلَدِهِ صابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أنَّه لا يُصِيبُهُ إلّا ما كَتَبَ اللَّهُ له، إلّا كانَ له مِثْلُ أجْرِ شَهِيدٍ

“Tidak ada seorang pun yang ditimpa wabak ta’un ini sedangkan dia duduk di dalam negeri tempatnya dengan penuh kesabaran dan bermuhasabah, dan dia faham bahawa tiada sesuatu yang menimpanya melainkan semuanya telah ditentukan oleh Allah, melainkan dia akan mendapat pahala seperti pahala syahid.” (HR al-Bukhari)

Bak kata pantun Melayu:

Bunga raya warna merah,
Cantik lagi bunga kemboja,
Bila datang ujian Allah,
Wajib sabar lagi reda.

Saudara saudari sekalian,
Barisan hadapan telah lama menanggung kesusahan dan keperitan sejak sekian lama. Namun demikian, sikap segelintir masyarakat yang mengabaikan aspek pematuhan SOP dan larangan rentas negeri amat mendukacitakan.

Sedarilah, usaha mesti seiring dengan tawakal. Keadaan kini sudah semakin kritikal. Berilah kerjasama kepada barisan hadapan sekadar kemampuan kita terhadap usaha-usaha mengekang wabak yang melanda. Antaranya adalah dengan mematuhi arahan ‘total lockdown’ dan SOP yang ditetapkan.

Di samping itu, usahakanlah mendapatkan rawatan sekiranya sakit dan ambillah langkah pencegahan yang sewajarnya seperti menguatkan sistem imun badan melalui langkah vaksinasi.

Pada masa yang sama, marilah bersama-sama kita bermuhasabah, memperbanyakan taubat dan istighfar serta berdoa agar Allah mengangkat wabak ini daripada kita. Covid-19 ini adalah ujian daripada Allah dan Allah jualah yang Maha Berkuasa menghilangkannya.

Akhir kata, kita sebagai warganegara Malaysia terlebih lagi sebagai seorang Muslim hendaklah mendukung sebarang usaha memutuskan rantaian Covid-19 demi maslahat ‘memelihara nyawa’ manusia dan menjauhi sebarang tindakan yang membawa kepada sebarang kemudaratan.

Pohon beringin rantingnya patah,
Lalu menimpa anak Pak Saat,
Wajib taat kepada pemerintah,
Selagi tidak menyuruh maksiat.

Hanya kepada Allah kita bergantung harap dan bertawakal.

اللهم اكشف عنا البلاء والوباء والفحشاء ما لا يكشفه أحد غيرك
آمين يا رب العالمين

Selamat beramal.

USTAZAH SITI KHADIJAH MAHMUD
Pengerusi Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan
Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka (DMPNM)