Home Berita PAS Kedah

Ustaz Fadzil Noor dan PAS Kedah

129
SHARE

Oleh AHMAD YAHAYA

Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor adalah tokoh agama dan politik di peringkat nasional serta dikenali di peringkat antarabangsa. Diberi gelaran “Mujahid Ulung” oleh pelbagai pihak selepas kematiannya pada 23 Jun 2002. Kematian Almarhum menjadi peristiwa besar dalam sejarah negara. Jenazahnya dikunjungi oleh ratusan ribu manusia, bermula dari Kebawah Duli Tuanku Sultan Kedah, Menteri Besar, Menteri Kabinet, alim ulamak, pemimpin masyarakat hinggalah kepada rakyat biasa.

Saya masih ingat, antara ucapan Tok Guru Nik Aziz di dalam Masjid Muassasah Darul Ulum sebelum dikebumikan Almarhum ialah : “Kita biasa menghadapi kematian pemimpin kecil dan besar dalam PAS. Tapi saya tidak pernah menyaksikan begitu ramai manusia yang datang pada hari kematian Ustaz Fadzil Noor”

Di peringkat nasional Ustaz Fadzil menjadi Presiden PAS selama 13 tahun bermula tahun 1989- 2002. Sementara di peringkat negeri Almarhum menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah juga selama 13 tahun. Iaitu sebanyak dua kali, pertama pada tahun 1983 – 1987 dan kali ke 2 pada tahun 1991 – 2000. Pesuruhjaya PAS negeri sebelum Almarhum ialah Hj Ismail Kassim dan selepasnya Ustaz Azizan Abd Razak.

Penglibatan Ustaz Fadzil dengan PAS bermula sejak menuntut di Maktab Mahmud lagi. Pada pilihanraya umum 1959, Almarhum dan beberapa rakan pelajar daripada Maktab Mahmud telah bekerja keras membantu calon PAS dalam siri-siri kempen pilihanraya. Setelah melanjut pelajaran ke Mesir, Almarhum kekal mengikuti perkembangan PAS dan politik negara dari sana.

Setelah tamat pengajian peringkat sarjana muda, Ustaz Fadzil tidak menyambung pengajian hingga ke peringkat sarjana kerana Dato’ Abu Bakar Omar meminta Almarhum balik membantunya memimpin PAS Kedah.

Kepulangan Ustaz Fadzil dari Mesir disambut oleh Ustaz Jais Anuar di Kuala Lumpur. Jais Anuar adalah sahabat karib Ustaz Fadzil di Mesir dan ketika itu menjawat jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS. Sebelum balik ke Kedah, Jais Anuar memastikan Ustaz Fadzil mengisi borang keahlian PAS terlebih dahulu.

Khidmat pertama Ustaz Fadzil di Kedah ialah sebagai guru di Maktab Mahmud pada tahun 1967. Kemudian tahun 1973 ditawar pula sebagai pensyarah di UTM oleh Tan Sri Ainuddin Abd Wahid. Tahun 1978 Almarhum bertanding dalam pilihanraya di Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah. Tidak memadai tewas di dalam pilihanraya tersebut, Almarhum dipecat pula dari UTM.

Kes pemecatan oleh pihak pentadbir UTM dibawa ke mahkamah. Almarhum menang dalam perbicaraan dan dibayar ganti rugi serta kembali bertugas sebagai pensyarah. Selepas beberapa bulan berkhidmat, Almarhum meletakkan jawatan dan melibatkan diri sepenuh masa di dalam PAS.

Berbagai tanggungjawab jamaah dipikulkan keatas Almarhum. Bermula sebagai YDP PAS Kawasan Kuala Kedah, ahli Badan Perhubungan, Timbalan Pesuruhjaya dan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Pada tahun 1980 Adun Bukit Raya Hj Ismail Kasim meninggal dunia. Maka satu perjumpaan diadakan di Pondok Tok Guru Hj Man Guar Kepayang yang dihadiri oleh Dato Abu Bakar Omar, Cikgu Sudin serta pimpinan PAS sebulat suara memilih Ustaz Fadzil sebagai calun PAS di Dun Bukit Raya. Namun Almarhum tewas dengan majoriti kecil, iaitu 69 undi sahaja.