Home Berita PAS Kelantan

Usahawan IKS Bunut Payong berterima kasih kepada wakil rakyat

108
SHARE

KOTA BHARU, 20 Mac: Berbekalkan semangat dan keyakinan diri yang tinggi beliau berjaya memperolehi pendapatan sekitar RM40 ribu untuk satu musim dengan hasil tanaman timun batang yang diusahakan di kawasan berkeluasan satu ekar.

Demikian menurut usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Supian Mohamed, 55 yang ditemui di kebunnya di Wakah Che Yeh dalam Program Outreach Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Kelantan (UPKN) kelolaan Unit Libat Urus Masyarakat (ULUM) peringkat DUN Bunut Payong, Khamis lalu.

“Kini sudah setahun saya mengusahakan projek tanaman ini di atas tapak yang diberi untuk diusahakan tanpa dikenakan sewa.
Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada YB Dr Ramli yang membantu saya mendapatkan sumbangan daripada Kerajaan Negeri melalui Skim Bantuan Al-Falah sebanyak RM10 ribu. Tidak dilupakan, insan yang bermurah hati memberi kawasan ini untuk saya usahakan,” katanya.

Tambahnya, beliau akan memajukan lagi projek pertanian ini dengan menanam pelbagai tanaman lain kerana yakin bidang ini berpotensi untuk masa depan.

Seorang lagi usahawan IKS, Ramzi Aziz, 43, mengusahakan perniagaan roti, kek dan katering bersama isterinya Norhayati Ismail, 40, memulakan perniagaan sejak tahun 2011 secara kecil-kecilan dan kini beliau berbangga kerana perniagaannya sudah meningkat maju.

“Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri yang telah menyumbang peralatan membuat roti dan kek serta PKD Bunut Payong yang telah memberi peruntukan sebanyak RM20 ribu untuk pembinaan bangunan perniagaannya.
“Saya akan usahakan bersama keluarga untuk membesarkan lagi perniagaan saya ini memandangkan sekarang ini sambutannya adalah menggalakkan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, YB Dato’ Dr Ramli Mamat dalam ucapan ringkasnya berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan untuk melihat secara lebih dekat kejayaan khususnya para usahawan IKS yang mana DUN Bunut Payong tidak ketinggalan dalam usaha melahirkan usahawan-usahawan IKS.

Sebelumnya, YB Dato’ Dr Ramli bersama kakitangan UPKN, para penghulu dan kakitangan PKD Bunut Payong melakukan program ziarah dan menyampaikan sumbangan membabitkan golongan pesakit kronik, warga emas dan OKU dalam kawasan DUN Bunut Payong.