Home Berita PAS Kedah

UMNO Kedah digesa percepatkan penamaan calon pengerusi penyelaras DUN

226
SHARE

Kuala Kedah, 17 Ogos 2022 : Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kedah melalui satu kenyataan medianya mempertegaskan agar Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah mempercepatkan proses menamakan calon pengerusi Penyelaras DUN Kubang Rotan.

Dalam pada masa yang sama, Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah (DPPKK) menggesa UMNO Kedah agar menjelaskan sebaik-mungkin perjalanan serta perbincangan yang telah dilakukan.

Hal ini kerana, banyak pihak terutamanya rakyat di luar sana masih ternanti-nanti jawapan daripada Badan Perhubungan UMNO Kedah dalam melaksanakan proses penamaan lantikan pengerusi yang baharu. Setelah lebih 3 bulan tanpa khabar berita, susulan pemergian Almarhum Dato Hashim Jahaya (pengerusi penyelaras terdahulu) pada 7 Mei 2022 yang lalu.

Kendatipun, ada suara-suara JPKK daripada ahli UMNO di peringkat akar umbi sendiri yang mengadu serta menyoal ketegasan UMNO Kedah dalam menyelesaikan isu ini. Namun, DPPKK tidak mahu menunding jari serta menyalahkan mana-mana pihak.

Bahkan, DPPKK menyokong penuh penegasan Perhubungan PAS KEDAH bagi mentaati serta akur pada perjanjian, yang mana kerusi Penyelaras DUN Kubang Rotan adalah slot dari parti UMNO. DPPKK juga mengalu-alukan sesiapa sahaja daripada UMNO untuk dilantik sebagai pengerusi dan menghulurkan tangan bagi sama-sama membantu rakyat di sini.

Di pihak DPPKK sendiri telah mengambil maklum isu semasa serta masalah-masalah yang dihadapi rakyat di DUN Kubang Rotan. Misalnya, tuntutan kebajikan, khairat kematian, sumbangan IPT dan seumpama dengannya.

DPPKK juga telah menerima laporan daripada Kerajaan Negeri Kedah yang mana pihak kerajaan negeri telah menunggu Perhubungan UMNO Kedah begitu lama untuk memberikan nama calon bagi diangkat sebagai pengerusi penyelaras yang baru. Akan tetapi, masih sepi tanpa khabar berita sehingga ke hari ini.

Oleh itu, DPPKK sentiasa memandang serius setiap perkara apatah lagi melibatkan kepentingan rakyat di dalam kawasan Kuala Kedah.

Rakyat Kubang Rotan sudah cukup bersabar dengan PENANTIAN ini. Bak pepatah orang lama, “kalau kucing orang main ekor lama-lama pun dia marah & terkam mai. Ini kan pula manusia yang berakal dan mempunyai tahap KESABARAN”.

Justeru itu, DPPKK meminta supaya Badan Perhubungan UMNO Kedah lebih serius dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.