Minda Presiden PAS
[Bil: 29 / 2025]
UMDAP MEMPERSUCI DAP
Kemenangan UMNO bersama DAP (UMDAP) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning tidak bermakna memberikan kesan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Sifat perubahan dalam arus politik menjadi tabii alam dan dinamik dalam politik, termasuk ke arah yang tidak istiqamah bersama Islam. Firman Allah SWT:
لَهُۥ مُعَقِّبَٰتٞ مِّنۢ بَيۡنِ يَدَيۡهِ وَمِنۡ خَلۡفِهِۦ يَحۡفَظُونَهُۥ مِنۡ أَمۡرِ ٱللَّهِۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١
“Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di hadapan dan di belakangnya; mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” [Surah al-Ra‘d: 11]
Kejayaan calon UMDAP bersama PH dalam PRK Ayer Kuning ialah hasil kejayaan UMNO menubuhkan UMDAP yang mempersuci DAP yang anti-Islam secara terbuka, termasuk beberapa tindakan mempersuci DAP dan PH dalam isu ternakan babi secara haram di kawasan majoriti penduduknya Islam dan dipimpin oleh Melayu Islam.
Oleh sebab itu, Islam mendahulukan kemenangan kuasa politik berbanding umrah dan haji yang wajib mengikuti mazhab Ahli al-Sunnah yang dianut oleh PAS.
PAS yang mengemukakan isu bahawa tanggungjawab mengundi itu adalah fardu ain, gagal dalam PRK itu.
Namun, Islam yang progresif dan liberal, serta UMDAP yang mempersuci DAP — walaupun bercanggah dengan nas al-Quran, hadis, ijmak, dan qias yang nyata, bahkan bertentangan dengan siasah syar‘iyyah dan maqasid al-syariah kerana ternakan babi memudaratkan kesihatan, alam sekitar, dan nyawa — ditolak oleh sebahagian besar pengundi Melayu Islam di Ayer Kuning bersama calon UMDAP.
UMDAP membawa sebahagian daripada UMNO menjadikan matlamat menghalalkan cara (the end justifies the means) mengikut kaedah politik sekular dan cara politik liberal. Di samping itu, mereka berada dalam kerajaan demi memperoleh jawatan Menteri Besar, Exco, projek, dan kehakiman terpilih bagi menyelamatkan kawan dan sahabat dalam kes yang nyata buktinya seperti jenayah dan rasuah.
Sebaliknya, mereka memilih lawan untuk diseret ke mahkamah dalam kes yang nyata dan belum nyata, termasuk kes yang sengaja diciptakan terhadap sesiapa sahaja yang melawan. Malah mereka boleh berbohong atau bersumpah bohong — padahal ia diharamkan dan diwajibkan kafarah dalam hukum Islam —, di samping melakukan kemungkaran lain yang menjadi amalan Kerajaan PH.
Bersama mereka ialah media seperti Malaysiakini dan lain-lain yang mendukung secara kasar dan halus, berserta kalangan oportunis politik wang dan pangkat yang berjaya dalam PRK Ayer Kuning.
Dalam semua keadaan ini, PAS tetap berpegang kepada konsep tahaluf dan ta‘awun yang berpandukan nas al-Quran. Firman Allah SWT:
لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ ٩
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. [8] Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan sebagai kawanmu orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. [9]” [Surah al-Mumtahanah: 8–9]
Sebelum ini, PAS pernah bertahaluf dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun kemudian membatalkannya kerana berpandukan kepada nas tersebut.
Asalnya, bertahaluf dan berta‘awun dengan pihak bukan Islam yang tidak menentang Islam adalah diharuskan, sehingga orang bukan Islam boleh menyertai kerajaan pusat dan menjadi Exco yang tidak berkait dengan dasar Islam, dinamakan sebagai wizarah al-tanfiz.
Walau bagaimanapun, DAP yang nyata anti-Islam dilarang menyertai kerajaan pusat berpandukan surah al-Mumtahanah ayat 9. Terbukti dalam perlembagaan DAP, mereka bercita-cita menegakkan negara sekular yang tidak memberikan kuasa kepada Islam, bahkan mengeluarkan kenyataan secara terbuka menentang pelaksanaan syariat Islam, walaupun penguatkuasaan syariat Islam itu adalah terhadap penganut Islam sahaja.
PAS menolak kerjasama dengan pihak bukan Islam jika tujuannya mahu akan kemenangan dan kuasa semata-mata. Firman Allah SWT:
بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمًا ١٣٨ ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا ١٣٩
“Khabarkanlah kepada orang-orang munafiq bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih. [138] (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Adakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka, sesungguhnya, semua kekuatan kepunyaan Allah. [139]” [Surah al-Nisa’: 138–139]
PAS juga menolak kalangan oportunis yang menyertai PH. Firman Allah SWT:
ٱلَّذِينَ يَتَرَبَّصُونَ بِكُمۡ فَإِن كَانَ لَكُمۡ فَتۡحٞ مِّنَ ٱللَّهِ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَكُن مَّعَكُمۡ وَإِن كَانَ لِلۡكَٰفِرِينَ نَصِيبٞ قَالُوٓاْ أَلَمۡ نَسۡتَحۡوِذۡ عَلَيۡكُمۡ وَنَمۡنَعۡكُم مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ فَٱللَّهُ يَحۡكُمُ بَيۡنَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلَن يَجۡعَلَ ٱللَّهُ لِلۡكَٰفِرِينَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ سَبِيلًا ١٤١
“(Iaitu) orang-orang yang menunggu-nunggu (peristiwa) yang akan terjadi pada dirimu (wahai orang-orang Mukmin). Maka, jika terjadi bagimu kemenangan daripada Allah, mereka berkata, ‘Bukankah kami (turut berperang) berserta kamu?’ Dan jika orang-orang kafir mendapat keberuntungan (kemenangan), mereka berkata, ‘Bukankah kami turut memenangkanmu, dan membela kamu daripada orang-orang Mukmin?’ Maka, Allah akan memberikan keputusan antara kamu pada Hari Kiamat dan Allah sekali-kali tidak akan memberikan jalan kepada orang-orang kafir untuk memusnahkan orang-orang yang beriman.” [Surah al-Nisa’: 141]
Di sana, ada pula pihak yang takut menentang, namun diharamkan reda terhadap orang bukan Islam. Firman Allah SWT:
لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ ٢٨
“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali (teman rapat) dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Dan sesiapa yang berbuat demikian, nescaya terlepaslah dia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap kekuasaan Diri-Nya (seksa-Nya). Dan hanya kepada Allah jua tempat kembali.” [Surah Ali ‘Imran: 28]
Walau bagaimanapun, ada dalam kalangan UMNO yang bersama UMDAP kerana takut. Mereka dikecualikan kerana boleh berubah pendirian kepada hijrah.
PAS tetap beristiqamah dengan perintah Allah yang mengharamkan pelantikan orang bukan Islam sebagai pemimpin negara. Firman Allah SWT:
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ١
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuhmu menjadi teman-teman setia yang kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita Muhammad), kerana rasa kasih sayang! Padahal sesungguhnya, mereka telah ingkar kepada kebenaran yang datang kepadamu, mereka mengusir Rasul dan (mengusir) kamu kerana kamu beriman kepada Allah, Tuhanmu. Jika kamu benar-benar keluar untuk berjihad di jalan-Ku dan mencari keredaan-Ku (janganlah kamu berbuat demikian). Kamu memberitahukan secara rahsia (berita-berita Muhammad) kepada mereka, kerana rasa kasih sayang. Aku lebih mengetahui apa-apa yang kamu sembunyikan dan apa-apa yang kamu nyatakan. Dan sesiapa antara kamu yang melakukannya, maka sesungguhnya, dia telah tersesat dari jalan yang lurus.” [Surah al-Mumtahanah: 1]
Dalam beberapa aspek, PN menunjukkan kejayaan di PRK Ayer Kuning, ditambah pula dengan keadaan penurunan undi Melayu Islam disebabkan langkah mempersuci DAP dan rakan-rakannya oleh UMDAP. Walaupun calon PAS atau PN, Ustaz Abd Muhaimin Malek ialah seorang tokoh agama yang bertauliah dan mengajar di banyak masjid, malah muridnya ramai daripada kalangan UMNO, mereka sekadar memahami Islam dalam ibadat fardu ain sahaja, tetapi menolak kewajipan politik dalam Islam.
Maka, tindakan UMDAP mempersuci DAP berjaya menarik atau boleh membeli mereka dengan politik wang dan jentera kerajaan sepertimana amalan yang digunakan UMNO dalam BN dahulu.
Kesimpulannya, PRK Ayer Kuning dan PRK Nenggiri tidak boleh menjadi ukuran kerana perubahan boleh berlaku dalam keadaan yang berbeza dan berubah-ubah.
PAS kekal beristiqamah dengan perubahan ke arah yang lebih baik melalui islah dan tajdid. PAS menolak perubahan progresif, liberal, dan pragmatik yang berkonsepkan sekularisme.
Firman Allah SWT:
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِي ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَآءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَآءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَآءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَآءُۖ بِيَدِكَ ٱلۡخَيۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٞ ٢٦
“Katakanlah, ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau memberikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabut kerajaan daripada orang yang Engkau kehendaki! Engkau memuliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau menghinakan orang yang Engkau kehendaki. Dalam Tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya, Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.’” [Surah Ali ‘Imran: 26]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 2 Zulqa‘dah 1446 / 30 April 2025