Home Berita PAS Kelantan

Umat Islam Mesti Waspada Dengan Bentuk Pemikiran Baru

829
SHARE

KOTA BHARU – Umat Islam diminta supaya berhati-hati dengan bahaya gerakan pemikiran liberal dan pluralisme agama yang semakin berani mengancam aqidah umat Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serata, YB Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud berkata demikiran sewaktu berucap mewakili Menter Besar merasmikan Seminar Bahaya Islam Liberal di KTC semalam.

Katanya, acaman golongan liberal dalam bentuk perang pemikiran ini perlu ditangani secara bijak dan berkesan oleh umat Islam sebelum ia menjadi ancaman yang lebih besar.

“Bahaya pemikiran golongan ini kerana mereka hanya bersandar pada asas rasional semata-mata tanpa bersandar pada sumber ajaran Islam yang sebenar.

Mereka mentafsirkan ajaran agama sesuka hati dengan bersandar pada fikiran yang cetek dan lebih cenderung mengikut kefahaman mereka,” katanya.

Tambahnya, ancaman ini merupakan bentuk penjajahan pemikiran yang dirancang oleh musuh-musuh Islam bagi merosakkan aqidah umat Islam dan umat Islam hendaklah sentiasa peka dengan sebarang bentuk ancaman baru ini.

“Musuh-musuh Islam sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan umat Islam melalui pelbagai bentuk keraguan supaya umat Islam tidak lagi mengamalkan ajaran Islam yang sebenar.

Mutakhir ini timbul pelbagai istilah seperti Islam Liberal, Islam progresif, Islam moderat, Islam sederhana dan lain-lain lagi yang sebenarnya merupakan jarum halus yang dicucuk untuk memesongkan umat Islam dalam mengamalkan syariat Islam bahkan mendorong umat Islam menerima nilai-nilai sesat dari barat seperti LGBT atas nama hak asasi manusia, kebebasan individu dan sebagainya,” katanya.

Katanya lagi, dalam menghadapi ancaman ini pihak Kerajaan Negeri sentiasa memberi penekanan dan kesedaran tentang bahaya bentuk pemikiran moden ini melalui kuliah-kuliah agama yang sentiasa diadakan pada setiap masa.

Objektif program ini dianjurkan adalah untuk memastikan umat Islam tidak terjerumus ke dalam sebarang bentuk fahaman yang bercanggah dengan Islam, memantapkan kefahaman seluruh umat Islam disamping mendedahkan kebatilan fahaman Islam liberal.

Seterusnya memperkukuhkan pegangan aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah disamping menjadikannya sebagai teras dalam penyatuan umat Islam di negara ini, dan membina kesatuan umat Islam dalam menghadapi ancaman fahaman liberalisme yang semakin menular dalam negara ini.

Tiga tokoh daripada Indonesia yang mewakili INSISTS diundang sebagai pembentang iaitu Dr. Nirwan Syafrin, Dr. Henri Shalahuddin dan Dr. Adian Husaini. Manakala pengulas terdiri dari YB Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Dato’ Hassan (Exco Kerajaan Negeri), Firdaus Wong Wai Hung (Presiden MRM) dan Dr. Wan Nor Haziki Wan Abd Halim (Timbalan Presiden GASMA).

Untuk sesi forum dan dialog penalis terdiri dari Dato’ Dr. Johari Mat (Pengarah IPTG) dan Dr. Aizam Mas’od (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan) dengan moderator Ustaz Sofwan Badrie Ahmad Badrie (Presiden GASMA).- UPKN KELANTAN 2/9/2018