Home Berita PAS Johor

Umat Islam Harus Bangkit Jauhi Perpecahan

1024
SHARE

UMAT ISLAM HARUS BANGKIT JAUHI PERPECAHAN

MUAR : “Dalam situasi semasa kini di saat penghinaan berlaku terhadap agama Islam, institusi raja-raja, bahasa dan undang-undang Islam, umat Islam harus bangkit menghadapi musuh-musuh agama dan perlu sensitif dengan sebarang penghinaan. Perlu bangkit membina kekuatan terutama kekuatan agama,” demikian antara ucapan Ustaz Nasarudin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat dalam program Ceramah Perpaduan Ummah di Pusat Tarbiah PAS Kawasan Muar yang lalu.

Turut hadir menyampaikan ceramah juga ialah Dato Razali Ibrahim, Ketua Bahagian UMNO Muar yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau hadir bersama-sama beberapa orang ahli jawatankuasanya.

Merujuk kepada tafsir dari Surah Al Imran : Ayat 103 , “Dan berpegang teguhlah kamu kepada (agama) Allah, janganlah kamu bercerai-berai dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, lalu Allah persatukan hingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu darinya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk” ,
beliau mengingatkan agar umat Islam terus bersatu padu dan tidak berpecah-belah kerana musuh-musuh agama kita sedang bergembira dengan perbalahan dan pertelingkahan umat Islam lebih-lebih lagi usaha mereka bagi memastikan dua buah parti terbesar umat Islam PAS dan UMNO tidak bersatu.

Oleh itu, amatlah penting untuk umat Islam bersatu demi menyelamatkan ummah dan agama, demi mengelakkan musuh-musuh Islam mengambil peluang dan kesempatan. Jangan biarkan umat Islam terus dalam kejahilan dan lemah menjaga agamanya hingga ada yang menentang agamanya sendiri. Kembalilah berpegang teguh kepada Al Quran.