Home Berita PAS Kelantan

Umat Islam disaran bersatu bebaskan Al-Aqsa

61
SHARE

KOTA BHARU, 7 Feb: Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, YB Ustaz Wan Roslan Wan Hamat semasa berucap di Perasmian Penutup Dialog Strategik Pembinaan Tamadun Kelantan di sebuah hotel di sini, semalam berkata, kejadian Allah atas muka bumi ini ada tiga masjid yang istimewa. Dua masjid yang Allah jaga ialah Masijidil Haram dan Masjidil Nabawi, manakala Masjidil Al-Aqsa pula Allah bagi kepada umat Islam untuk dijaga.

Justeru itu katanya, “selagi mana umat Islam tidak bersatu, selagi itu masjidil Al-Aqsa tidak akan dibebaskan dari cengkaman Zionis laknatullah. Kita dalam perjuangan jangan cepat nak menang tapi kena bekerja.”

“Dalam bekerja, hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah, satu puak atau kumpulan sebagaimana hasrat Almarhum Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri menubuhkan Persatuan Bukan Kerajaan (NGO) adalah untuk membantu Kerajaan Negeri membina Tamadun,” katanya yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor.

Sementara itu, sesi Dialog Strategik Pembinaan Tamadun Kelantan dengan tema Kecaknaan Bersama Gaza Palestin telah dibincangkan oleh dua panelis hebat iaitu Profesor Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Akademi Tamadun Islam UTM, Prof Dr Badlihisham Mohd Nasir dan Mantan Profesor Akademi Tamadun Islam UTM Dr Kamaruzaman Yusoff serta moderator dikendalikan oleh Pengarah Pusat Kajian Strategik (PKS) Dr Wan Nik Wan Yussof.

Majlis yang dianjurkan oleh PKS ini turut diserikan dengan slot pemasyhuran buku Nadir Al-Nuri yang bertajuk Anak Melayu di Palestin.