Home Berita PAS Kelantan

UM, PUSPA komited bantu pelajar asnaf

285
SHARE

KOTA BHARU, 22 Mac: Jabatan Penerbitan Universiti Malaya (UM) dan Persatuan Wanita Kelantan yang bermastautin di Kuala Lumpur dan Selangor (PUSPA) komited membantu pelajar asnaf dari sekolah-sekolah terpencil di seluruh Kelantan sejak tahun 2006.

Profesor Kehormat UM yang juga Presiden PUSPA, Prof Dr Azizah Hamzah berkata UM dan PUSPA sering berkerjasama membantu membiayai yuran persekolahan dan menyumbangkan buku-buku latihan kepada para pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

“Konsep khidmat bakti kita ialah dengan menjadikan sekolah luar bandar tersebut sebagai sekolah angkat. Secara automatik, para pelajar yang daif, kita jadikan anak angkat seperti dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru (Tumpat), SK Sokor (Tanah Merah), SK Ladang Kerala (Kuala Krai), SK Bunut Susu (Pasir Mas) dan terkini kita juga memilih pelajar asnaf dari Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan (Kota Bharu)”, katanya.

Beliau yang ditemui dalam majlis penyerahan 6000 buah buku latihan kepada Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pendidikan Kelantan (JPN), Siti Norina Muhammad, semalam turut memaklumkan program anak angkat itu dilaksanakan melalui pembiayaan RM50 sebulan kepada 100 pelajar.

“Sumbangan tersebut bermula sejak mereka di tahun satu sekolah rendah hingga ke tingkatan satu dan tamat tingkatan enam. Seterusnya, mereka juga dibiayai sekiranya berjaya melanjutkan pelajaran ke UM,” jelasnya.