Home Dewan Ulamak PAS Pusat

UAE – ISRAEL : Mengkhianati Perjuangan Ummah Membela Palestin

1157
SHARE

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat

28 ZULHIJJAH1441H  l   17 OGOS 2020

UAE – ISRAEL : MENGKHIANATI PERJUANGAN UMMAH MEMBELA PALESTIN

1. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) mengecam perjanjian damai atau normalisasi hubungan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan negara haram Israel kerana jelas tindakan tersebut merupakan satu pengkhianatan kepada dunia Islam dan ummah.

2. Tidak sepatutnya UAE mengambil tindakan sebegini kerana jelas negara haram Israel mempunyai misi yang merobek maruah umat Islam dengan cuba merampas negara Palestin sedikit demi sedikit bagi menjayakan pelan Israel Raya mereka. Sebelum ini, kita mengecam tindakan Donald Trump menerusi Pelan Damai yang dilaksanakan kerana hanya menguntungkan pihak Yahudi Zionist sahaja namun kini UAE pula dilihat menjalinkan hubungan dengan Israel yang sepatutnya jelas Yahudi Zionist adalah musuh yang nyata.

3. Sejak awal lagi, ketegasan ummah dalam mempertahankan Palestin dari dijajah oleh Yahudi Zionist serta tidak mengiktiraf negara haram Israel yang didirikan dalam pembahagian wilayah di Tebing Barat Palestin. Ini jelas apabila pada tahun negara haram Israel diisytiharkan pada 1948, Syeikh Husanain Makhluf mengeluarkan fatwa kewajipan mempertahankan Palestin dengan jiwa dan harta dan menegaskan bahawa Palestin milik Arab dan umat Islam.

4. Malahan, al-Azhar yang menjadikan mercu kiblat ilmu umat Islam sekali lagi pada tahun 2011 telah mengeluarkan dokumen berkaitan isu Palestin dalam menegaskan hak milik Palestin, perjuangan mempertahankan dan membebaskan bumi Palestin dan lain-lain. Justeru, tidak wajar mana-mana memberikan ruang dan pengiktirafan dalam apa jua bentuk perjanjian yang dijalinkan dengan negara haram Israel kerana ummah berkewajipan mempertahankan tanah Palestin dan al-Quds yang berada di dalamnya.

5. DUPP mengharapkan pihak kerajaan Malaysia turut dapat mengeluarkan kecaman dan menyatakan bantahan terhadap UAE atas sikap yang mereka tunjukkan kerana ia mengguris hati umat Islam di seluruh dunia.

Firman Allah SWT :

(وَلَن تَرۡضَىٰ عَنكَ ٱلۡیَهُودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمۡۗ قُلۡ إِنَّ هُدَى ٱللَّهِ هُوَ ٱلۡهُدَىٰۗ وَلَىِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَاۤءَهُم بَعۡدَ ٱلَّذِی جَاۤءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ مَا لَكَ مِنَ ٱللَّهِ مِن وَلِیࣲّ وَلَا نَصِیرٍ)

Maksudnya :
Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. – [Surah Al-Baqarah 120]

Sekian.

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Malaysia (Pasir Puteh)