PASIR PUTEH, 4 Jul: Bagi memastikan serta meningkatkan sumber perikanan agar sentiasa mampan dan menjamin sekuriti makanan negara, Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perikanan Malaysia telah berjaya melabuhkan sebanyak 212 buah tukun pelbagai jenis di perairan Kelantan yang melibatkan Jajahan Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh dengan peruntukan sebanyak RM 3 Juta bermula pada tahun 2007.
Menurut Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI) ll, YB Datuk Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, terdapat dua konsep pembinaan tukun tiruan oleh Jabatan Perikanan Malaysia iaitu tukun tiruan konservasi bagi tujuan pelindungan dan tukun tiruan rekreasi bagi tujuan aktiviti pancingan dan rekreasi terkawal.
“Dengan pemasangan tukun tiruan ini, ia akan menjadi habitat dan tempat pembiakan ikan dan hidupan laut yang lain. Selain itu tukun ini juga akan menjadi penyelamat kepada aktiviti pukat tunda dan bencana alam. Dengan ini sumber perikanan disekitar tukun akan terjamin dan seterusnya akan membantu nelayan persisiran pantai dan nelayan konvesional (pancing) meningkatkan hasil tangkapan”. Kata beliau semasa ditemui di Program Melabuh Tukun Tiruan (Konservasi) Negeri Kelantan 2022.
Pada hari ini Jabatan Perikanan Malaysia telah berjaya melabuhkan sebanyak tujuh buah tukun tiruan di perairan Tok Bali bagi tujuan konservasi. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, YB Ustaz Tuan Saripudin Tuan Ismail bersama Timbalannya YB Abd Aziz Kadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Wan Hassan Wan Ibrahim dan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Kelantan.