JERLUN, 29 MEI – Ibu bapa berperanan memastikan anak-anak berada di landasan betul setelah sedikit sebanyak terbabas akibat terkesan oleh pandemik yang melanda, kata ADUN Ayer Hitam.
YB Azhar Ibrahim berkata, ini berikutan dalam dua tahun era pandemik yang lalu, anak-anak pelajar berdepan dengan situasi yang menyebabkan mereka lebih banyak di rumah berbanding di sekolah.
“Oleh itu, bagi memastikan anak-anak kembali berada di landasan yang betul, ibu bapa memainkan peranan yang besar kepada perkembangan pendidikan dan peribadi mereka,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana, dekat Ayer Hitam, semalam.
Tambahnya, meskipun tugas sebagai pendidik berada di bahu guru-guru, ibu bapa sepatutnya tidak melepaskan beban tugas mendidik anak-anak kepada guru sepenuhnya.
“Ibu bapa perlu sentiasa menyokong usaha para guru di sekolah, dalam waktu yang sama memainkan peranan mendidik dan membentuk peribadi yang sempurna kepada anak-anak di rumah,” ujar beliau.