Home Berita PAS Kelantan

Transformasi Tok Bali pemangkin ekonomi baharu

180
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 11 Jul: Menteri Besar Kelantan, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), YB Dato’ Seri Mustapa Mohamed telah mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tok Bali.
Dalam mesyuarat secara atas talian tersebut, Dato’ Ahmad memaklumkan projek yang sedang dan bakal dilaksanakan di kawasan Tok Bali perlu diberi keutamaan kerana berpotensi menjadi “game changer” dalam transformasi ekonomi di Kelantan.
“Sehingga Jun 2021, Kerajaan menerusi Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah memperuntukkan sejumlah RM297.7 juta untuk pembangunan di kawasan tersebut iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP) (RM200 juta), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) (RM67.7 juta) serta RM30 juta disediakan untuk menaik taraf jalan Tok Bali-Pasir Puteh.
Manakala pelaburan komited daripada pihak swasta di Tok Bali sehingga Jun 2021 berjumlah RM1.75 bilion dan daripada jumlah ini RM329 juta telah direalisasikan.
Untuk memperkukuhkan lagi aktiviti perdagangan, Kerajaan Negeri telah memulakan perancangan untuk membangunkan Inland Port Pasir Puteh. Projek ini akan diselaras dengan pembangunan sedia ada di kawasan sekitar agar dapat menawarkan perkhidmatan sokongan dan mewujudkan ekosistem yang kondusif kepada industri sedia ada” katanya melalui satu kenyatan rasmi, semalam.
Keputusan mesyuarat itu juga menetapkan supaya PLANMalaysia mempercepatkan pelaksanaan Kajian Sempadan Antarabangsa Malaysia-Thailand (KSAMT) dengan mengambil kira impak pembangunan Tok Bali kepada pembangunan kawasan sempadan di Kelantan.