Home Berita PAS Melaka

Transformasi Melaka dari tidak punya apa-apa kepada kepada pusat dagangan tersohor dunia – KM Melaka

503
SHARE

Oleh : Ibnu Janie

MELAKA, 26 Ogos : “Melaka yang asalnya sebuah kawasan yang tidak punya apa-apa, berjaya ditransformasikan oleh Parameswara atau Sultan Iskandar Shah, menjadi sebuah Empayar Kesultanan Melayu Melaka yang terkenal sebagai pusat perdagangan paling maju lagi tersohor di dunia.

“Justeru, kita berhasrat untuk mengembalikan kegemilangan tersebut, bahkan lebih daripada itu.”

Demikian dinyatakan Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali di dalam satu hantaran Facebook beliau sebentar tadi berkenaan ucapan beliau dalam Seminar Melakaku Maju Jaya di MITC, Ayer Keroh, Melaka, di sini pagi tadi.

“Pagi ini saya cukup gembira apabila berpeluang berkongsi kata-kata semangat dalam membawa hala tuju pembangunan negeri Melaka kepada penjawat awam negeri, seterusnya merasmikan seminar ini.

“Lalu, bagi menukar mimpi menjadi kenyataan, hasil daripada seminar dua hari ‘Melaka Rumahku Maju Jaya’ ini, kita bakal menyiapkan ‘Pelan Pembangunan Komprehensif Hala Tuju Melaka Lestari’, yang menjangkau hingga tahun 2035, dibahagikan kepada tiga fasa:

“Pertama: PELAN JANGKA PENDEK, dari 2020 hingga 2025; Kedua: PELAN JANGKA SEDERHANA, dari tahun 2020 hingga 2030 dan; Ketiga: PELAN JANGKA PANJANG, dari 2020 hingga 2035.

“Kerajaan Negeri Melaka bertekad, untuk mewujudkan satu koridor ekonomi baharu, pelaburan berimpak tinggi, sebagai mercu tanda baharu ekonomi negeri, bakal dinamakan sebagai ‘Melaka Waterfront Economic Zone atau M-WEZ!

“Dalam koridor baharu M-WEZ itu, yang akan dilaksanakan melalui inisiatif pihak swasta dan kerajaan, bakal dirancakkan dengan pewujudan tiga buah pelabuhan bertaraf dunia iaitu:

“Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), sebagai hub perkhidmatan industri minyak dan gas; Pelabuhan Tanjung Bruas sebagai hub kepada pelabuhan kontena dan Melaka Gateway pula sebagai hub kepada International Cruise Terminal (MICT).

“Tidak terhenti di situ, kita juga bakal mempunyai sebuah stesen hentian bagi perkhidmatan Kereta Api Berkelajuan Tinggi atau High Speed Rail (HSR) dari Kuala Lumpur ke Singapura, sekaligus, secara tidak langsung, akan merancakkan kemajuan ekonomi di sekitar koridor tersebut.

“Saya berharap seminar dua hari ini dapat memberi manfaat dan informasi berguna kepada semua peserta, sekali gus dapat memacu pembangunan negeri Melaka yang kita cintai ini!” ujar beliau di dalam hantaran Facebook tersebut.

Turut hadir, YB Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; barisan EXCO Kerajaan Negeri; Ketua-ketua Jabatan dan kakitangan Kerajaan Negeri Melaka.

Kredit foto : Facebook Ketua Menteri Melaka


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)