Home Artikel PAS Johor

TRAGEDI SUNGAI KIM KIM 2 SATU KEBETULAN?

292 views
SHARE

TRAGEDI SUNGAI KIM KIM 2 SATU KEBETULAN?

PAS Negeri Johor melihat sangat jarang berlaku sesuatu tragedi pencemaran berlaku di tempat yang sama dalam julat masa beberapa bulan. Lebih jarang berlaku apabila penyebabnya dikatakan berbeza di antara keduanya. Sekurang-kurangnya itu yang didakwa oleh Menteri Besar Johor yang bersumberkan laporan daripada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC).

Tragedi Sungai Kim Kim 1 yang berlaku pada bulan Mac 2019 merupakan satu tragedi pencemaran yang tidak sepatutnya berlaku di dalam negara. Tragedi yang disyaki disebabkan oleh pembuangan sisa kimia  ini dikatakan menjadi punca penyebaran gas metana yang menyebabkan seramai 2,775 orang awam telah dimasukkan ke hospital bagi menerima rawatan susulan insiden pembuangaan toksik terbabit.

Keputusan analisis ke atas sampel yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar(JAS) dari Sungai Kim Kim menunjukkan sisa kimia yang terdapat dalam Sungai Kim Kim mengandungi pelarut organik , benzene, toluena, cilena, etil benzina dan D-Limonene. 

Kerajaan negeri Johor telah membelanjakan sebanyak RM 6.4 juta bagi melakukan kerja-kerja pembersihan sepanjang 1.5km. Kemudiannya satu sidang akhbar telah dilakukan oleh YB Yeo Bee Yin, Menteri MESTECC pada 20 Mac 2019 bagi mengisytiharkan bahawa Sungai Kim Kim telah bebas daripada pencemaran sisa toksik.

Malangnya selang tiga bulan kemudian, negara sekali lagi dikejutkan dengan peristiwa yang hampir sama dengan tragedi Sungai Kim Kim 1 itu. Simptom Tragedi Sungai Kim Kim 2 ini hampir sama dengan apa yang berlaku ketika Tragedi Sungai Kim Kim 1. Sehingga kini, semua Sekolah dan institusi pengajian di Pasir Gudang di arah tutup oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Apabila bencana seumpama ini berlaku, pastinya sedikit sebanyak mencalarkan imej dan mengundang persepsi negatif terhadap peranan badan-badan berkaitan pengurusan alam sekitar yang terlibat di negara ini. Apatah lagi bila ianya berlaku di tempat yang sama, di negeri yang sama dengan punca yang  berbeza. Ia hanya menggambarkan kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan pemantauan badan-badan alam sekitar terlibat samada oleh kerajaan negeri ataupun kerajaan pusat. 

Justeru Tragedi Sungai Kim Kim 1 dan 2 bukanlah satu kebetulan tetapi ianya adalah satu kelemahan. Maka berapa banyak lagi tragedi Sungai Kim Kim akan berlaku selepas ini.

Dr Mohd Mazri Yahya

Timbalan Pesuruhjaya

PAS Johor

25hb Jun 2019