Home Berita PAS Kedah

Tragedi kepala air Gunung Jerai, waris terima faedah Perkeso

303
SHARE

Tragedi kepala air Gunung Jerai, waris terima faedah PERKESO

YAN, 19 Ogos : Tragedi “kepala air” Gunung Jerai, waris terima faedah Perkeso. Menteri Besar, Haji Sanusi menyampaikan faedah PERKESO kepada waris Allahyarham Sharuzi Mohamad yang meninggal dunia dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai. Arwah meninggalkan seorang balu dan empat orang anak.

Arwah Sharuzi, 53 tahun merupakan mangsa kedua yang ditemui pasukan penyelamat pada 18 Ogos, semalam setelah hilang dibawa arus kepala air ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya, Jerai Hill Resort.

Haji Sanusi memaklumkan beliau bersama Pegawai Daerah Yan sempat melawat beberapa lokasi pencarian termasuk tempat operasi pencarian arwah Sharuzi dibuat.

“Arwah menaiki motosikal bersama beberapa rakan sekerja lain dalam perjalanan pulang dari tempat kerja. Rakannya yang menaiki motosikal lain terselamat namun cedera. Arwah dihanyutkan oleh arus deras kepala air itu, ditemui sekitar jam 10.30 malam tadi dibawah timbunan kayu-kayu.

“Saya telah hadir ke tempat operasi malam tadi bersama Pegawai Daerah Yan untuk melihat usaha mencari dan menyelamat oleh pasukan bomba,” ujar Haji Sanusi.

Arwah Sharuzi yang merupakan pencarum PERKESO layak menerima Faedah Pengurusan Mayat serta Faedah Orang Tanggungan setelah disahkan terlibat dalam bencana kerja mengikut Seksyen 24 Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969.

Balu menerima RM2,000.00 bagi Faedah Pengurusan Mayat manakala Faedah Orang Tanggungan akan dibayar secara berkala sepanjang hayat.

Anak-anak arwah Sharuzi pula akan menerima Faedah Orang Tanggungan yang turut dibayar secara berkala sehingga berumur 21 tahun atau sehingga tamat ijazah pertama.