Home Melaka

Tips persahabatan | Sukarnya memiliki sahabat

337
SHARE

SIRI 1

Oleh CINDERELLA NASS TC

SEMASA saya belajar di kampus dahulu saya pernah berbual dengan seorang rakan tentang persahabatan. Dia kata pada saya dia ada ramai kawan tetapi dia tiada sahabat.

Mulanya saya rasa pelik juga. Takkan kot tak ada seorang pun sahabat? Tapi bila saya amati betul-betul apa yang dia cuba hendak sampaikan, baru saya faham.

Rupanya pada dia ada perbezaan yang besar antara sahabat dan kawan. Ini yang mungkin saya dan sesetengah kita tidak memikirkannya.

Bagi rakan saya itu kawan adalah rakan-rakan dan kenalan seperti yang kita semua ada. Namun, apabila dikatakan sahabat, definisinya jauh lebih dalam daripada sekadar kawan.

Walau pun secara umum kita tahu bahawa memang sahabat itu sifatnya lebih akrab daripada kawan, namun, apa yang saya faham, rakan saya itu meletakkan satu kualiti dan kriteria yang tinggi untuk seseorang kawan itu boleh dipanggil sahabat.

Ia juga menepati sebuah kata-kata pujangga yang berbunyi:- ‘Untuk seseorang itu memiliki sahabat, seorang sudah cukup beruntung, dua terlalu ramai, tiga hampir mustahil’.

Maksudnya dalam kehidupan ini amat susah untuk kita memiliki sahabat. Jika kita ada seorang sahabat pun sudah kira nasib baik. Jika kita ada dua orang sahabat, itu dianggap ramai. Dan untuk memiliki tiga atau lebih rakan yang boleh dipanggil sahabat, itu seolah-olah sesuatu yang hampir mustahil.

Namun semua ini bergantung kepada diri kita sendiri juga. Jika kita meletakkan standard yang tinggi untuk seseorang itu layak kita panggil sahabat, maka semakin sukarlah untuk kita memiliki ramai sahabat. Jika standard yang kita letak tidak tinggi, maka ramailah rakan-rakan kita yang kita boleh panggil sahabat.

Sungguh pun begitu bagi yang meletakkan standard yang tinggi untuk sahabat ini, bukan bermaksud mereka cerewet. Tetapi mereka mahu menjadikan individu yang mereka panggil sahabat itu adalah individu yang sangat tinggi, mulia dan benar-benar istimewa di mata mereka.

Orang seperti ini bukan tidak suka berkawan. Mereka berkawan dengan ramai orang tetapi dalam masa yang sama mereka sentiasa mencari antara ramai-ramai kawan yang dia ada siapa yang sebenarnya sahabat menepati ciri-ciri yang mereka tetapkan.

Anda bagaimana?

______________________

Penulis adalah seorang wartawan dan penulis bebas