Home Artikel PAS Melaka

Tinta Ketua Penerangan Tangga Batu : Perikatan Nasional Dan Covid-19 – Apa Signifikannya?

632
SHARE

Oleh : MOHAMMED SAUFEE OTHMAN

Umum sedia maklum pembentukan kerajaan baru di bawah Perikatan Nasional (PN) adalah semasa Covid-19, yang ketika itu berstatus epidemik, masih di peringkat awal.

Hebat serangan yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) terhadap kerajaan baru tersebut khususnya dari RBA. Kerajaan pintu belakang sehingga ke ‘royal coup’ menjadi zikir harian mereka.

Tatkala yang sama wabak Covid-19 semakin parah. Wabak yang semasa PH masih berkuasa dipandang enteng oleh pimpinan mereka. Keutamaan mereka ketika itu adalah TIDAK menyekat kemasukan pelancong luar khususnya dari China yang kononnya amat penting kepada ekonomi Malaysia di sebalik amaran-amaran awal yang telah dikeluarkan oleh WHO.

Apabila wabak Covid-19 telah menjadi pendamik yang diisytihar oleh WHO pada 12 Mac lepas, ketika itulah barisan Menteri Kabinet Malaysia yang mengangkat sumpah pada 10 Mac 2020 baru hendak memulakan tugas. Rata-rata dari kalangan PH bersikap skeptikal dan memandang sinis terhadap kemampuan Jemaaah Menteri yang baru ini tambahan pula Sri Satria di Putrajaya akan tidak berpenghuni tanpa adanya seorang Timbalan Perdana Menteri. Namun di sebalik sinis mereka juga kaget dengan strategi 4 Menteri Kanan dan 2 Menteri yang ‘disenatorkan’ mengikut kepakaran masing-masing.

Penglibatan TEKNOKRAT, sesuatu yang telah menjadi idealisma Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS sejak sekian lama.

Cabaran sebenar bermula.

Pendamik Covid-19 semakin parah di seluruh dunia dan Malaysia tidak terkecuali. Impak langsung dari pendamik ini adalah terhadap ekonomi dunia yang memang sudah agak goyang akibat dari isu minyak dan perang dingin Amerika – China. Malaysia juga tidak terkecuali dalam menerima tempiasnya.

Keutamaan Kerajaan PN yang dinakhodai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah untuk menangani wabak Covid-19 dan mensejahterakan ekonomi Malaysia.

Setiap hari Jemaah Menteri akan bermesyuarat untuk menangani isu tersebut. Perbincangan tampak lebih tersusun dan efisien dengan adanya tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada 4 Menteri Kanan. Namun kegetiran cabaran hanya dirasai oleh mereka yang berada di dalam bilik mesyuarat itu. Tidak nampak riak panik baik di wajah Perdana Menteri mahupun Menteri Kanan yang lain. Setiap persoalan oleh wartawan semasa Sidang Media Harian seolah-olah sudah diantisipasi mereka.

Pasukan Menteri yang baru, mendepani dua cabaran yang sangat besar, bekerja bersama-sama setiap hari tanpa mengira masa, sudah pasti akan membentuk pasukan bekerja yang mantap sebab mereka bermula bersama-sama dengan KETIDAKTENTUAN, mengharungi KEGETIRAN setiap hari, JUGA BERSAMA-SAMA. Bukan bermula dengan kesenangan dan kemewahan. Senario inilah merupakan formula ampuh untuk membina SATU PASUKAN bekerja yang kukuh dan bermotivasi tinggi. Tanyalah kepada mana-mana pakar motivasi, mereka akan menganggukkan kepala mereka tanda setuju.

Pasukan Jemaah Menteri yang tidak diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk memikir hal lain selain dari masalah rakyat.

MAHA SEMPURNA PERANCANGAN ALLAH. Kita hanya perlu yakin dan sabar.

Kita juga dapat menyaksikan bagaimana Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan diberi kepercayaan penuh (empowerment) untuk mengendali Covid-19 bersama pasukannya. Satu lagi senario yang tidak dapat kita lihat dalam kerajaan terdahulu di mana Pak Menteri asyik ‘claim credit’ walaupun sering tergagap gagap apabila diajukan soalan oleh wartawan.

Kepercayaan ini, disertai dengan sokongan padu dari Menteri Kesihatan dan kerajaan serta lain-lain agensi, dibalas dengan oleh Dr Noor Hisham dan pasukannya dengan sangat ‘awesome’.
Kegusaran orang awam ditangani dengan sangat profesional. Bukan itu sahaja, ianya disokong dengan pelan tindakan yang ‘couldn’t be better’. Pengiktirafan WHO membuktikan segalanya.

ALHAMDULILLAH. Kita doakan Dr. Noor Hisham dan pasukannya serta frontliners yang lain diberi perlindungan, ketabahan dan petunjuk oleh Allah SWT dalam melaksanakan tanggungungjawab mereka. Yang lebih penting kita patuhi segala arahan pihak berkuasa dari masa ke semasa.

#STAYATHOME.

Kerajaan Perikatan Nasional bukan meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada Dr. Nor Hisham dan pasukannya serta frontliners yang lainnya dalam menangani isu Covid-19 ini. Kementerian serta agensi lain melakukan tugas mereka selaku SUPPORT TEAM juga dengan berkesan. Kementerian Alam Sekitar dengan tanggungjawab pelupusan sisa klinikal yang ditambahbaik dan yang terbaru sedang menjalankan kajian genetic Covid-19 dalam sistem pembentungan bersama dengan UTM dan TU Delft Belanda sebagai langkah proaktif, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan hebahan maklumat yang sahih dan kempen kesedaran yang kreatif sepanjang masa melalui semua medium di samping menangani berita palsu bersama PDRM dan juga kementerian dan agensi yang lain. ‘Just to name a few.’

Yang menjadi perhatian utama adalah Kementerian Kewangan. Apakah peranan mereka semasa rakyat sangat terkesan dengan wabak Covid-19 dan juga implikasi ekonominya?

Pada 23 Mac 2020 Kerajaan Perikatan Nasional melalui Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan beberapa iinisiatif awal bagi membantu rakyat menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat dari wabak Covid-19.

Dua inisiatif yang menjadi topik hangat adalah pengeluaran caruman KWSP dari akaun 2 dengan amaun RM500 sebulan untuk 12 bulan dan moratorium dari semua bank untuk ‘term loan’ seperti pinjaman kenderaan dan perumahan.

Seperti biasa PH tersenyum kambing menerima inisiatif awal ini namun terus cuba mencipta naratif yang entah apa-apa terhadap inisiatif awal ini.

25 Mac 2020 Perdana Menteri mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 14 April 2020

Ironinya ucapan pengumuman pelanjutan tempoh PKP ini diakhiri dengan Perdana Menteri menadah tangan sambil mengajak rakyat sama-sama berdoa memohon bantuan Allah SWT agar melindungi seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi getir ini. Doa yang dipanjatkan sendiri oleh seorang Perdana Menteri dihadapan rakyat jelata. Sesuatu yang memberikan kelegaan kepada kita semua.

Kembali kepada Allah SWT dalam semua urusan terutamanya di saat getir, inilah intipati model Kerajaan Islam yang telah lama diperjuangkan oleh PAS.

27 Mac 2020 Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang bernilai RM250 bilion diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak perlu diulas panjang tentang pakej yang komprehensif dan inklusif ini. Cukup dinukilkan di sini dua ayat dari Tan Sri Muhyiddin Yassin :

1. “ NO ONE WILL BE LEFT ALONE “
2. “ Kerajaan ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini mengambil berat tentang anda.”

Teruslah merapu dan meroyan wahai ahli dan pemimpin PH.

Hanya jauhari yang mengenal manikam.

Setiap sesuatu yang berlaku ada hikmahnya. Ilmu kita selalunya tidak terjangkau akan hikmah tersebut. Covid-19; moga banyak hikmah yang tersembunyi disebalik kemunculan mu.

Cukuplah akan hal-hal berikut menjadi harapan kita bersama :

1. Moga pasukan Menteri Kabinet Malaysia akan lebih kental lagi akan semangat setiakawan mereka dalam menabur khidmat kepada rakyat,
2. Moga rakyat berterusan bersatu hati meletak keyakinan kepada kerajaan yang ada sekarang,
3. Moga kita semua tidak melupakan ALLAH dalam SEGALA URUSAN.

Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Kawasan Tangga Batu Melaka