Oleh ROZAIDI TAIB
LANGKAWI, 20 Okt – Tiga kanak-kanak cedera dalam kejadian lantai sebuah rumah runtuh di perkampungan Bukit Malut, di sini.
Datuk saudara mangsa, Rahmat Samad, 53 berkata kejadian pada jam 8:45 malam itu berlaku amat pantas dan secara tiba-tiba ketiga-tiga cucunyanya sudah terjatuh ke dalam air di bawah rumahnya.
“Mujurlah ketika itu bukan air pasang, kalau tidak mesti berlaku perkara yang tidak diingini terhadap cucu-cucu saudara saya,” katanya.
Kejadian tersebut mendapat perhatian Yang DiPertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad yang bergegas ke sana setelah menerima makluman insiden tersebut.
“Punca berlaku runtuh ialah kerana tiang dan lantai rumah yang dibina di atas air ini telah reput dan usang,”ulasnya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Langkawi.
Menurut Zubir, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Maliha oleh penduduk setempat untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
“Saya dimaklumkan keadaan mereka hanya alami kecederaan ringan, Alhamdulillah,”
“Sebagai tanda simpati,saya mewakili PAS Kawasan Langkawi turut menghulurkan sedikit sumbangan kepada mereka.” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru sumbangan dari orang ramai untuk membantu meringankan beban keluarga mangsa yang hanya bekerja sebagai nelayan.
“Sesiapa yang berhajat membantu boleh hubungi keluarga ini melalui talian 0112-9697530 atau 013-5730023,” katanya.