Home Berita PAS Kedah

Tiga jahanam yang menghidupkan Islam

1024
SHARE

oleh: NOR FATIN

ALOR SETAR,3 APRIL – Tiga jahanam yang digelarkan kepada Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang, Yang Berhormat Dato’ Haji Nik Mohd Amar bin Abdullah  dan YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi bin Md Nor oleh pihak tertentu diakui oleh Tuan Guru Dato’ Haji Hashim bin Jasin, tapi menurutnya 3 jahanam yang menghidupkan Islam.

“Ya, mereka ini 3 jahanam yang menjahanamkan UMNO dan menghidupkan Islam!” kata Tuan Guru Dato’ Haji Hashim dalam ucapan kemuncak Majlis berbuka puasa dan Ceramah Penghayatan Nuzul al-Quran yang diadakan di Kompleks PAS Kedah pada Sabtu Lepas .

Atas faktor kesihatan, majlis yang sepatutnya dihadiri oleh Tuan Guru Presiden diganti dengan Tuan Guru Dato’ Haji Hashim bin Jasin selaku Mursyidul Am PAS. Walaubagaimanapun majlis tetap berjalan dengan lancar.

Ceramah Penghayatan Nuzul al-Quran bermula kira-kira dalam jam 10 malam selapas solat taraweh. Majlis dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh YB Dato’ Ahmad bin Saad @ Yahaya. Beliau menyebutkan bahawa majlis yang diadakan merupakan majlis tradisi sejak zaman Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor lagi.

“Hampir saban tahun majlis seumpama ini diadakan, seingat  saya sejak daripada Zaman Almarhum Dato’ Ustaz Fadzil Noor, kita buat di Muassasah Darul Ulum. Kemudian diteruskan zaman Almarhum Ustaz Azizan.

“Bahkan beliau sebut bila masuk Ramadan, Penerangan Negeri kena dapatkan tarikh bersama Tok Guru Presiden di Kedah ini untuk bersama dengan kita walaupun semalam, maka kita teruskan amalan yang menjadi kebiasaan pimpinan kita yang lalu.”

Menurut Ahmad juga, Tuan Guru Presiden kebiasaannya akan mengisi majlis dengan dua topik utama iaitu sejarah penurunan al-Quran dan sejarah peperangan Badar. Beliau mengulas lanjut, bahawa perlunya manusia pada hari ini untuk terus menghayati akan sejarah penurunan al-Quran. Hal ini kerana jaminan Allah bahawa al-Quran akan dipelihara. Dipelihara dari sudut lafaznya, sebutannya, tulisannya, huruf-hurufnya, ingatan manusia unuk dihafaz.

Maka perlu untuk para pejuang hari ini menghayati isi kandungan al-Quran untuk memperjuangkannya sehingga diangkat dan dijulang tinggi menjadi hukum tertinggi di atas muka bumi Allah!

Manakala sejarah peristiwa Badar yang membawa kemenangan dan perubahan baru kepada Madinah, patut terus dihidupkan dan dihayati dalam perjuangan kita sepanjang tahun.

Majlis diteruskan ucapan Menteri Besar Kedah dan dengan ucapan penutup oleh Mursyidul Am. Majlis yang berakhir hampir jam 12 malam itu mendapat sambutan yang memberansangkan. Turut hadir para Ulamak dan Tok-Tok Guru Pondok.