Home Berita PAS Selangor

PN Seru Kerajaan Cakna Isu Kritikal Sektor Kesihatan

65
SHARE

Dato’ Dr. Ahmad Yunus Hairi
JAWATANKUASA Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL mengambil maklum tentang satu mogok yang akan dijalankan dari 3 hingga 5 April 2023.

Pihak jawatankuasa berpendirian kebajikan dan keadilan kepada anggota kesihatan adalah teras utama dalam usaha untuk mencapai sistem kesihatan yang baik dan cemerlang.

Pihak jawatankuasa amat memahami perasaan, keluhan dan pengorbanan yang telah dilakukan anggota-anggota kesihatan.

Telah bertahun keluhan demi keluhan disuarakan, kerajaan telah silih berganti, Menteri Kesihatan datang dan pergi namun masalah yang membelenggu sektor kesihatan masih tidak dapat diselesaikan.

Tinjauan kami mendapati persekitaran kerja dan manfaat yang diterima oleh pengamal kesihatan awam adalah di tahap amat mendukacitakan.

Sistem aduan bagi menyampaikan rungutan mereka juga tidak berfungsi dengan baik.

Ini menjejaskan jasmani, minda dan emosi kakitangan kesihatan awam, seterusnya merendahkan mutu sistem kesihatan awam negara.

Selain itu, dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, adalah sesuatu yang merugikan semua pihak jika perkara ini boleh menyumbang ke arah kenaikan penghijrahan (brain drain) tenaga kerja terlatih dan pakar.

Pihak jawatankuasa juga menyeru kerajaan jangan memandang ringan tentang permasalahan ini.

Mereka sudah tidak mampu untuk bersabar kerana sudah bertahun menunggu, termasuklah menanti pembentangan kertas putih kesihatan yang dijangka pada bulan Jun nanti walaupun mereka tetap terus menjalankan tugas dengan cemerlang dan dibebani tekanan mental dan fizikal yang berterusan

Pihak jawatankuasa juga merasakan bahawa suruhanjaya perkhidmatan kesihatan harus ditubuhkan dengan kadar segera dan berfungsi secara aktif dan melakukan reformasi kesihatan awam negara kita, bukannya menunggu sehingga kertas putih kesihatan dibentangkan Parlimen Malaysia, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, 50680 Kuala Lumpur, WP Kuala Lumpur, Malaysia.

Kami memperingatkan dan sangat mengharapkan pihak kerajaan supaya janganlah pula dihukum kakitangan awam yang terlibat dengan mogok tersebut.

Sayugia diingat dan diharapkan bahawa tunjuk perasaan yang tidak mengganggu ketenteraman awam adalah satu cetusan dan luahan yang normal dalam sistem demokrasi.

Dalam masa yang sama, kami juga menasihati peserta mogok agar menjaga diri masing-masing supaya dapat terus berkhidmat untuk rakyat.

Kami percaya, cetusan rasa ini didorong oleh rasa cinta pengamal kesihatan awam untuk terus berbakti kepada rakyat.

Kami di peringkat jawatankuasa Kesihatan PERIKATAN NASIONAL akan terus memantau dan bersedia untuk mendengar permasalahan yang dihadapi oleh kumpulan ini.

Sekali lagi kami menyeru kepada pihak kerajaan untuk bersama-sama berganding bahu dalam menyelesaikan masalah ini.

Ini bukanlah masalah kerajaan semata-mata, malah tanggungjawab ini harus juga diselesaikan bersama pihak pembangkang demi kelangsungan perkhidmatan kesihatan negara yang lebih baik.

DATO’ DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pengerusi
Jawatankuasa Kesihatan Ahli-Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL
2 April 2023