Home Berita PAS Melaka

Tidak sampai dua peratus rakyat Malaysia berdaftar pemegang OKU – Aziah

307
SHARE

Oleh SITI HAJAR

AYER KEROH, 3 April : Mengikut kajian yang telah dijalankan hanya setakat 1.67 peratus sahaja golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berjaya didaftarkan di Malaysia.

Demikian menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Aziah Mohd Saad, ketika membentangkan graf statistik golongan OKU di Malaysia dalam siri diskusi Melaka Update anjuran Jabatan Penerangan PAS Negeri Melaka, pada Khamis lepas.

Beliau menjelaskan jumlah pendaftaran OKU di Malaysia iaitu sebanyak dua peratus adalah sangat sedikit berbanding 15 peratus jumlah populasi OKU yang dianggarkan oleh World Health Organization (WHO).

“Yang saya cakap tadi, daripada awal tadi mereka malu sebenarnya dapat anak ni. Bila malu, bila perasaan malu menyelubungi, membuatkan mereka tidak mendaftar.

“Kita nak sempurnakan dia (anak OKU), jadi kita kena bertindak. Kadangkala jiran tahu bahawa kemungkinan keluarga itu dia ada anak cacat ataupun anak OKU.

“Dia kena beritahu pada jiran atau bantu bawa ke, tolong ke, macam mana… Jadi anak tu boleh didaftarkan. Boleh dapat diterima awam,” jelas Aziah.

Tambah beliau lagi, sejak tahun 2000 telah bermulanya hala tuju Pendidikan Khas yang membawa kepada kesedaran serta perubahan untuk membantu golongan OKU yang menatijahkan pertambahan sekolah Pendidikan Khas di negeri Melaka khususnya.

Di samping itu, Aziah yang berpengalaman mendidik dalam bidang Pendidikan Khas ini turut menjelaskan beberapa faedah yang disediakan pihak kerajaan untuk golongan OKU.

 

“Anak-anak tu kalau bila didaftarkan dia dapat elaun. Kemudian ada yang dapat geran perniagaan sebanyak RM2700. Kemudian ada geran untuk dia bekerja dan juga macam-macam la.

“Selain daripada itu, geran berniaga RM2700 itu boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa sebaik mungkin. Sebenarnya ibu bapa boleh kalau anak tu dihalakan kemahiran dia. Dia boleh buat burger depan rumah pun boleh. Sekarang ni berniaga depan rumah pun boleh,” ujar beliau lagi.

Selain itu beliau juga berharap agar taska-taska OKU dapat ditambah agar perkembangan emosi dan fizikalnya dapat dikesan lebih awal oleh guru-guru yang mahir.

Beliau juga menambah setakat ini hanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sahaja yang berjaya mencapai satu peratus dalam menyediakan peluang pekerjaan untuk golongan OKU.

Aziah berkata, jika PAS diizinkan untuk mentadbir dalam kerajaan, PAS akan cuba membantu menambahbaik nasib golongan OKU supaya lebih mudah mendapatkan pekerjaan.

Siri diskusi Melaka Update ini telah dipencarkan secara langsung menerusi laman Facebook PAS Negeri Melaka pada Khamis lepas dengan tajuknya, ‘Insan Cacat Itu Sempurna, Suatu Anjakan Paradigma’ dan dikendalikan moderator Siti Salwani Mohd Kassim.