Oleh Nazirul Munir
Kluang : Hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon (PPC). Penyokong parti politik yang diwakili dan bakal-bakal calon tidak dibenarkan berkumpul dan berarak di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan.
Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan media SPR berkaitan pemakluman hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor harini.
“SPR telah menetapkan tarikh hari penamaan calon bagi PRU Dewan Negeri Johor ke-15 adalah pada 26 Februari 2022. Kertas penamaan calon boleh dikemukakan bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 10.00 pagi kepada Pegawai Pilihan Raya di 56 Pusat Penamaan Calon.
“SPR menyarankan kepada bakal-bakal calon yang ingin bertanding agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum hari penamaan calon.
“Bakal-bakal calon disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaran,” ujar Ikmalrudin Ishak.
Beliau juga berkata, semua calon dan parti-parti perlu mematuhi undang-undang yang dikeluarkan oleh SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
“SPR ingin memaklumkan bahawa SOP pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan PRU Dewan Negeri Johor ke-15 telah diluluskan oleh Kementeria Kesihatan Malaysia pada 18 Februari 2022. SOP Khas Pilihan Raya akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses perjalanan pilihan raya,”katanya.
Sementara itu Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR Berkaitan PRN Johor ke-15 di sini pada Rabu mengumumkan bahawa tarikh mengundi awal pada 8 Mac sementara pembuangan undi adalah pada 12 Mac.
DUN Johor dibubarkan secara rasmi pada 22 Januari lepas dengan perkenan daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar selepas baginda menerima mengadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkaitan perkara itu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru pada hari yang sama.