Home Berita PAS Kelantan

Teruskan sangka baik, berdoa untuk Kelantan – YB Mumtaz

358
SHARE
Oleh NORZANA RAZALY
KOTA BHARU, 9 Mei: Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, YB Dato’ Mumtaz Md Nawi memohon semua pihak hanya mendoakan yang baik-baik untuk keselamatan rakyat Kelantan yang kritikal dilanda pandemik Covid-19.
Permintaan dibuat melalui rakaman suara berdurasi 4.18 bersempena 27 Ramadan semalam, turut mengingatkan agar kita terus bersangka baik dan menghindari perkataan berkonotasi buruk sementelahan berada di bulan Ramadan.
“Kalau pintu langit terbuka, biar mulut dan tangan kita yang mendoakan kita selamat seperti di Brunei. Rakyat bertuah, negeri berkat, insya Allah sama-sama jaga diri dan berdoa supaya selamat. Manakan tahu ada dalam kalangan kita yang bertaraf wali, doanya diterima Allah apabila membaca tulisan dan doa kita”, pesannya.
Beliau menyeru semua rakyat menjaga diri, mendapatkan suntikan vaksin, memakai pelitup muka walaupun tak selesa dan tidak perlu keluar kalau tiada kerja mustahak.
Menerusi rakaman itu juga, beliau berdoa semoga rakyat Kelantan beroleh kurniaan lailatul qadar serta berbahagia sentiasa bersama keluarga di dunia dan akhirat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit itu juga mengakui seolah-olah kepanikan menghadapi ujian Tsunami 2014 berulang lagi. Dalam keadaan serba tak kena, beliau hanya mahukan rakyat Kelantan selamat dan terus doa sambil berikhtiar supaya Allah selamatkan Kelantan semasa banjir besar tersebut atas kesepakatan rakyat menjaga dan menolong sesama-sendiri.
Sebak suaranya melafazkan Ya Allah, berilah hidayah kepada rakyat kami supaya diri dan keluarga mereka selamat. Kasihanilah ‘frontliners’ kami dan berikanlah mereka kekuatan.
“Angkatlah penyakit dan virus ini, ya Allah. Kasihanilah masjid-Mu ya Allah, kini kosong. Kasihanilah para guru dan murid sekolah ya Allah, kini hilang arah belajar tanpa guru di depan mereka. Kasihanilah ibu ayah yang tak dapat menatap wajah anak mereka, terimalah doa kami agar keadaan tenang kembali” rayunya.
Dato’ Mumtaz juga berharap rakyat Kelantan melaksanakan sendiri ‘total lockdown’ dan kuarantin diri dan keluarga secara suka rela dan atas kesedaran keadaan kini amat kritikal serta yakin bahawa tiada kerajaan di dunia ini yang inginkan rakyatnya menderita.
“Semua nak jaga dan sejahterakan rakyat mereka. Tetapi kini semua langkah dilihat pincang, segala tindakan serba tak kena. Tentunya kerana jiwa kita sudah lama menderita dan hanya Allah sahaja boleh kembalikan ketenangan dan kebahagiaan kepada semua”
“Mohonlah hidayah dan dicukupkan rezeki daripada Allah, walau kita tak berkerja jangan meletakkan rezeki pada manusia, gantungkan rezeki dan aduan ke hadrat Allah As-Somad dan Ar-Razak”, serunya.