Home Kenyataan Media Dewan Muslimat PAS Malaysia

Terus Prihatin dan Positif Memulihkan Negara

34
SHARE

Alhamdulillah, Allah SWT masih memberi kesempatan kepada kita rakyat Malaysia berbilang kaum untuk terus menghirup udara kebebasan dan nikmat kemerdekaan pada tarikh bersejarah ini.

Tahun 2021 , tercatat sebagai tahun kedua negara kita menghadapi pandemik Covid-19.Dengan tema Hari Kebangsaan ‘Malaysia Prihatin’, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) percaya nilai positif dan inisiatif berterusan yang dilaksanakan dari segenap peringkat agensi kerajaan seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mampu membantu rakyat di waktu sukar.

Dikesempatan ini, DMPM menyeru rakyat Malaysia untuk bersama menghayati erti kemerdekaan mengikut acuan agama dan citra Malaysia yang meraikan kepelbagaian kaum. Sejarah Malaysia membuktikan perpaduan yang utuh antara kaum adalah kunci kepada keamanan negara.

Firman Allah SWT:
“Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al Anfaal: ayat 63)

Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-64 kepada seluruh rakyat Malaysia yang mencintai negara kita dengan tulus dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk negara kita mengikut lunas perlembagaan negara.

‘Islam Memperkukuh Perpaduan’
‘Islam Memimpin Wanita Sejahtera’

YB Senator Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
31 Ogos 2021 | 22 Muharram 1443H