KOTA BHARU, 20 Jul: Projek Pembangunan Terminal Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral (KB Sentral) yang baharu akan diteruskan pembinaannya bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh dan dijangka siap hujung tahun 2025. Manakala bangunan komersial dan apartment pula dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sembilan tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, YB Dato’ Hanifa Ahmad berkata, projek ini mengalami kelewatan ekoran daripada pandemik COVID-19, serta proses ‘Request For Proposal’ (RFP) yang mengalami masalah yang menyebabkan hal-hal yang berkaitan tergendala.
“Melalui RFP ini, Kerajaan Negeri pada 1 Jun 2022 telah memilih satu syarikat yang disenaraikan dalam Bursa Saham kategori papan utama untuk melaksanakan pembangunan KB Sentral di atas tanah seluas 17.37 ekar.”
Demikian menurut Dato’ Hanifa pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-14 semalam, bagi menjawab persoalan daripada ADUN Bukit Bunga, YB Dato’ Mohd Adhan Kechik yang meminta Kerajaan Negeri menyatakan bilakah Projek Pembangunan Terminal Pengangkutan Bersepadu KB Sentral akan dibina.