Home Artikel PAS Melaka

Terima kasih rakyat Melaka! : Pengarah program AMBD

519
SHARE

Oleh : Siti Hajar

HANG TUAH JAYA, 17 Jan : Pengarah program Amal Mega Blood Donation (AMBD), Mohamad Al-Hafiz Haji Yahya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma yang sudi hadir menderma darah di Mydin Ayer Keroh semalam.

Menurut beliau, bilangan penderma darah yang hadir semalam amat memberangsangkan sehingga program terpaksa ditamatkan awal sekitar jam 4 petang kerana stok beg darah yang terhad.

“Jumlah keseluruhan stok darah yang berjaya dikumpul semalam ialah sebanyak 73 beg darah. Alhamdulillah pihak Hospital Melaka memberi respon yang positif terhadap pengurusan Jabatan Amal Melaka dalam menjayakan program,” ujar beliau yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda PAS Negeri Melaka.

Beliau ditemuramah Wartawan Rakyat Melaka (WARM) di program derma darah AMBD yang sedang berlangsung di AEON Bandaraya Melaka sebentar tadi.

Sementara itu, Pegawai Perubatan UD48, Dr. Nadzirah Yahya, 32, memaklumkan bahawa seramai 11 orang permohonan derma darah mereka ditolak dalam program sama yang berlangsung di Mydin semalam.

“Mereka yang tidak berjaya disebabkan oleh beberapa faktor seperti haemoglobin dan tekanan darah yang rendah, pengambilan ubat-ubatan dan faktor lain seperti bekam,” kata beliau.

Orang ramai yang ingin hadir menderma darah pada hari ini diingatkan untuk memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga jarak sepanjang berada di tempat program.

Orang ramai adalah dijemput untuk menderma darah dan program pada hari ini sedang berlangsung di ruang lobi kompleks pasaraya AEON Bandaraya Melaka berdekatan pintu masuk C dari jam 11 pagi tadi sehingga jam 5.00 petang ini.