KOTA BHARU, 22 Oktober: Menteri Besar Kelantan YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob menzahirkan kesyukuran dan berterima kasih kepada seluruh rakyat Kelantan dari pelbagai kaum dan golongan masyarakat yang hadir bagi menjayakan program Himpunan Penyatuan Ummah di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad Ke IV, semalam.
Ternyata ujian cuaca buruk sedikit pun tidak menghalang kehadiran puluhan ribu rakyat Kelantan dari jauh dan dekat untuk bersama-sama saf kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan.
Hal itu membuktikan sokongan padu rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan sekarang.
“Alhamdulillah, rakyat Kelantan hadir dengan penuh bersemangat untuk bersama-sama kepimpinan sempena sambutan 32 Tahun Pentadbiran Membangun Bersama Islam. Sokongan padu rakyat Kelantan akan terus memastikan Kelantan kekal di bawah pentadbiran Membangun Bersama Islam,” ujarnya.
Dalam majlis yang sama, Kerajaan Kelantan telah menganugerahkan gelaran Tokoh Penyatuan Ummah kepada penyandang jawatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tuan Guru Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.
Ustaz Dato’ Ahmad juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Dato’ Muhyidin Yasin yang berjanji akan membayar sepenuhnya royalti petroleum kepada Kelantan sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).