Home Berita PAS Kelantan

Terima kasih Malim Gunung Jelawang – YB Dabong

200
SHARE

KUALA KRAI, 4 April: Di samping faktor promosi ‘Train To Dabong’, kemeriahan tarikan pelancongan ke sana juga berpunca daripada peranan Malim Gunong Jelawang yang banyak berkongsi panorama puncak gunung dan air terjun di Taman Negeri Gunong Stong.

Berucap semasa menyampaikan bantuan zink dan wang tunai kepada wakil Malim Gunong Jelawang (Jelawang Jungle), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong, YB Ustaz Ku Zaki Ku Hussin berkata, ramai pelancong luar negeri terutamanya, datang ke Dabong untuk menawan puncak-puncak gunung sambil menikmati keindahan Air Terjun Jelawang setinggi 303 meter dari aras laut yang tertinggi di Asia Tenggara.

Di puncak air terjun tersebut terdapat perkhemahan Kem Baha yang menjadi lokasi strategik kepada pendaki menikmati pemandangan matahari terbit dan awan karpet.

“Bantuan berupa zink dan wang tunai kepada wakil Malim Gunung Jelawang diharal dapat memberi keselesaan kepada pelancong atau pendaki di tapak perkhemahan Kem Baha. Mudah-mudahan sumbangan ini akan merancakkan lagi aktiviti pendakian di sana,” katanya.

Tambahnya, Taman Negeri Gunung Stong memiliki sembilan puncak yang biasa ditawan pendaki tempatan dan luar negeri iaitu puncak Gunong Baha (1450 M), Ayam (1550 M), Stong (1420 M), Che Tahir (1430 M), Saji (1205 M), Tera ( 1555 M), Nyelit (1345 M), Kob (1240 M) dan Beirut (1380 M).

Selain itu, terdapat beberapa lokasi air terjun yang cantik antaranya Air Terjun Gajah Meniti dan Air Terjun Batu Banir.
Para pelancong perlu memohon permit daripada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) melalui malim gunung yang bertauliah untuk berekreasi di kawasan tersebut.