ALOR SETAR,8 MEI – Terima kasih diucapkan kepada semua tetamu yang membanjiri Kompleks PAS Kedah pada Sabtu lepas dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Pusat.
Majlis yang asalnya bermula pada jam 12.30 tengah hari itu sudah dibanjiri dengan tetamu seawal jam 10.00 pagi lagi. Walaupun cuaca agak sedikit panas tidak menghalang para tetamu untuk datang memeriahkan majlis tersebut.
Pelbagai juadah disediakan dan difahamkan lebih 30 jenis juadah disediakan untuk pengunjung. Semuanya adalah hasil usaha PAS Negeri-negeri dan jawatankuasa yang terlibat.
Untuk makluman semua, dana yang digunakan untuk majlis adalah sepenuhnya dana parti dan sama sekali tidak menggunakan dana kerajaan negeri.
“Kita tak guna dana kerajaan negeri anjur Rumah Terbuka PAS Pusat. Saya nak maklum Perdana Menteri, kita buat jamuan di premis parti dengan perbelanjaan parti.” Kata Sanusi dalam ucapannya pada hari tersebut.
Sekali lagi diucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu yang dianggarkan lebih 50 ribu kehadiran. Di kesempatan ini juga, Perhubungan PAS Kedah merakamkan ucapan terima kasih kepada semua petugas yang bertungkus-lumus dalam menjaya dan melancarkan majlis ini.
Turut hadir kepimpinan wakil pimpinan Bersatu dan Gerakan Pusat dan Negeri Kedah.