Home Melaka

Rencana | Tukar kerajaan : Tak percaya tapi cemas

702
SHARE

Oleh IBNU JANIE

DALAM beberapa minggu ini media sosial banyak memainkan ‘usikan’ yang menggambarkan seolah-olah bakal berlaku pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan. Angka 126 menjadi trending di media-media sosial.

Media-media sosial yang pro kepada PH-BN mulanya menyindir, mempersenda dan memperlekeh seolah-olah perkara ini satu igauan pembangkang. Mereka beranggapan ini hanya satu perang psikologi pembangkang untuk menakut-nakutkan parti kerajaan.

Namun makin lama bahan-bahan yang dimuatnaik dalam mengulas senario ini semakin bernada serius. Ia menggambarkan seolah-olah PH-BN sudah cemas dengan apa yang sedang berlaku.



 

PH-BN sudah mula memainkan emosi dengan kenyataan-kenyataan yang bersifat memujuk agar pembangkang tidak melakukan perkara ini.

Mereka menyandarkan kebimbangan mereka kepada rakyat dengan meminta agar ahli politik kasihan kepada rakyat yang terpaksa berdepan dengan perubahan dalam kerajaan di saat rakyat sedang bergelut keluar daripada kesan bencana Covid-19.

Sebenarnya kita memang bersetuju bahawa ahli-ahli politik perlu simpati pada rakyat dan tidak harus mementingkan diri sendiri dan perjuangan politik mereka sahaja.

Kerana itu, jika ahli-ahli politik benar-benar kasihan kepada rakyat mereka harus membantu dan menyokong usaha untuk menukar kerajaan ini kerana rakyat sangat tertekan duduk di bawah pemerintahan PH-BN yang gagal mentadbir dengan baik.

Banyak keputusan-keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang sebenarnya menyukarkan rakyat seperti keengganan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar, malah meminta rakyat berhutang pula.

Di saat perbincangan tentang perkara ini menjadi hangat tiba-tiba pada Rabu baru-baru ini tak semena-mena Bank Negara mengumumkan kenaikan ‘kadar dasar semalaman’ (OPR) kepada tiga peratus. Dan sekarang dengan kenaikan OPR maka bertambah lagi beban pembayar hutang.



 

Dengan kenaikan ini, teruk Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil ‘dibahan’ kerana peristiwa amaran keras beliau terhadap sebuah akhbar tempatan yang baru-baru ini memuatnaik sebuah berita yang melaporkan jangkaan seorang pakar ekonomi bahawa Bank Negara kemungkinan menaikkan OPR pada Julai.

Tindakan menteri kerajaan PH-BN ini dikecam Kesatuan Kebangsaan Wartawan yang menganggap tindakan itu satu sekatan terhadap kebebasan media sedangkan ramalan dan jangkaan dalam ekonomi adalah perkara normal.

Pertelingkahan dalaman antara pemimpin dalam parti-parti Kerajaan PH-BN terhadap usaha Umno untuk memohon pengampunan bagi bekas Perdana Menteri Najib Razak yang berlaku baru-baru ini juga menunjukkan ketidaksatuan hati mereka.

Ini sehingga menatijahkan PAN memohon maaf kepada Umno atas ketelanjuran Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad yang menentang hasrat Umno ini. Rakyat pun jadi keliru dengan perjuangan PH yang selama ini kononnya berjuang menentang rasuah.

Itu belum lagi bercerita tentang tindakan-tindakan kerajaan PH-BN yang banyak melukakan hati orang Melayu-Islam.

Semua yang berlaku ini menambahkan serabut rakyat terhadap pentadbiran PH-BN sekarang dan mengharapkan agar kerajaan bertukar.

Kerajaan PH-BN bukan sebuah kerajaan yang dibentuk dengan kemenangan mandat rakyat pada PRU15. Pada PRU15 tidak ada parti individu atau parti gabungan yang mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan.



 

Anwar membentuk kerajaan dengan bergabung dengan BN, GPS dan beberapa parti lain untuk mendapatkan sekurang-kurangnya majoriti mudah agar dapat membentuk kerajaan. Tidak sama dengan pada PRU14 apabila PH pada masa itu berjaya memperolehi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Anwar juga faham bahawa kerajaan gabungan PH-BN tidak mendapat sokongan sebenar rakyat. Dan sokongan ini semakin merosot dari hari ke hari akibat daripada kegagalan PH-BN dalam mentadbir negara.

Ini terbukti dengan peristiwa memalukan di Kedah baru-baru ini apabila program Himpunan Raya Madani 2023 mereka tidak mendapat sambutan walau pun dengan memanggil artis dan menawarkan hadiah cabutan bertuah.

Kejadian itu memusnahkan harapan mereka untuk menunjukkan kekuatan dan sokongan rakyat bagi merampas negeri-negeri Perikatan Nasional (PN) pada PRN akan datang.

Dan sekarang mereka berdepan pula kemungkinan kerajaan mereka runtuh dengan penarikan sokongan daripada Ahli-ahli Parlimen akibat daripada rakyat yang berasa tidak selesa dengan cara mereka mentadbir.

Mereka cuba buat seolah-olah semuanya okay dan tidak ada apa-apa yang berlaku. Walau pun mereka mengungkapkan bahawa mereka tidak percaya usaha menukar kerajaan ini akan berjaya tetapi mereka tidak dapat menyembunyikan wajah cemas mereka yang jelas ketara.

Penulis adalah Wartawan Harakah, Ketua Editor Pusat bagi Portal Berita PAS dan Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka


Rencana ini juga disiarkan di Harakah cetak Edisi Isnin bertarikh 8-11 Mei 2023

 

Para penyumbang yang budiman. Keseluruhan projek ini iaitu membina sebuah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat; sebuah bangunan tandas dan membaik pulih bangunan asal sedia ada semuanya bernilai RM900 ribu.

Buat masa ini sedang disiapkan ialah dewan terbuka beserta dua tingkat pejabat yang bernilai RM450 ribu daripada jumlah keseluruhan RM900 ribu.

Pada masa ini pihak kami sangat memerlukan sebanyak RM180 RIBU bagi meneruskan pembinaan dewan terbuka ini untuk MEMBELI STRUKTUR BESI SEBERAPA CEPAT YANG BOLEH untuk menyiapkan dewan terbuka ini. Kami memohon dan merayu sumbangan tuan-tuan dan puan-puan untuk tujuan ini.

Para dermawan yang sudi untuk menghulurkan sumbangan boleh menyumbang kepada akaun Bank Rakyat – PAS Kawasan Masjid Tanah di nombor akaun 1101 6481 22.

Sebarang informasi, para penderma boleh berhubung dengan Ustaz Imran sendiri di talian 019-680 6707 atau Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kompleks, Jamarudin Ahmad di talian 012-697 2328 atau Bendahari Jawatankuasa Pembinaan, Ustaz Azmi Sambul di talian 013-378 4729.

JAWATANKUASA PEMBINAAN KOMPLEKS PAS KAWASAN MASJID TANAH