Home Naib Presiden 1

Terima Kasih JPA, Banyak Lagi Pembaharuan Diperlukan

723
SHARE

Kenyataan Media

Terima Kasih JPA, Banyak Lagi Pembaharuan Diperlukan

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Perkhidmatan Awam kerana mengumumkan penangguhan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal yang melibatkan 33 skim perkhidmatan semalam. PAS amat berharap agar keputusan tersebut konsisten, terus dikekalkan malah dikaji untuk penambahbaikan.

Setelah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 – Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam diumumkan, ia ditolak dalam kalangan rakyat. Malah, ramai yang melahirkan rasa simpati khususnya kepada penjawat awam yang berkhidmat dalam sektor kesihatan di negara ini. Mereka berada dalam kondisi ‘underfunded’, ‘understaffed’, ‘underpaid’ dan ‘overworked’.

PAS juga ingin mencadangkan kepada pihak Kerajaan agar menaikkan kadar elaun ‘on call’ dalam kalangan doktor khususnya MO. Sebahagian mereka bekerja lebih 24 jam atau ‘Every Other Day’ (EOD) demi untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Namun, pihak kerajaan mesti mempeduli kebajikan para doktor. Selain penambahan kakitangan, elaun ‘on call’ juga harus dinaikkan pada satu kadar yang munasabah.

PAS mahu pihak Kerajaan membentangkan situasi sebenar nisbah doktor dan pesakit mengikut negeri. Berdasarkan maklumat yang diterima, jumlah doktor di Sabah dan Sarawak sangat berkurangan berbanding jumlah pesakit. Sementara itu, Kerajaan perlu mengambil inisiatif segera menyelesaikan isu Pegawai Hospital (HO) yang masih lagi berstatus dan bergaji kontrak walaupun telah setahun menjadi Pegawai Perubatan (MO).

PAS berharap agar isu penting terutama melibatkan sektor sosial dan keselamatan negara perlu diberikan perhatian serius oleh pihak Kerajaan.

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian)

14 Jamadil Awwal 1441 | 10 Januari 2020