LANGKAWI – Seorang lelaki yang merupakan anak tempatan Pulau Langkawi, Aziz Muhamad terharu serta bersyukur apabila menerima hadiah cabutan bertuah berupa Motorsikal Modenas dalam Program Sembang Santai Anak Pulau, kelmarin.
Aziz Muhamad berkata, dia sangat menghargai hadiah yang dimenanginya itu dan tidak menyangka akan terpilih.
“Berdebar jantung bila mendengar number plat motosikal saya diumumkan oleh pengerusi majlis.
“Alhamdulillah syukur, selepas ini isteri saya boleh menaiki motorsikal ini ke tempat kerjanya,” ujarnya.
Dalam program itu, Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada semua pemenang.
Mengulas lanjut, Pengarah Program Sembang Santai Anak Pulau, Qushairi Zainol berkata, penyertaan lebih 500 anak muda di luar jangkaan memandangkan beliau pada mulanya mensasarkan 300 peserta sahaja.
“Kehadiran Menteri Besar memeriahkan majlis kerana beliau ada aura tersendiri untuk dekati anak muda dengan sikapnya yang suka berseloroh dan disenangi anak muda,” ujarnya.
Turut hadir Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Zubir Ahmad, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Langkawi, Ahmad Sidek, Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Dato’ Haji Juhari Bulat, Ketua Bahagian Bersatu Langkawi, Amar Pared.