Home Berita PAS Perak

Pelancaran jentera PN bangkitkan semangat

372
SHARE

Oleh Mimi Wahida Daud

LENGGONG: Ratusan petugas Perikatan Nasional (PN) Parlimen Lenggong mendapat suntikan semangat untuk gerakkan jentera di semua peringkat bagi memenangkan calon-calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November depan.

Sambil mengibarkan bendera PN, ruangan Dataran Arena Lawin menjadi meriah dengan laungan takbir dan perkataan Perikatan Nasional daripada para petugas serta seluruh hadirin.

Program bermula jam 9 malam itu didahului ucapan pimpinan dengan ucaptama oleh Yang DiPertua (YDP) PAS Kawasan Lenggong Yang juga Pesuruhjaya negeri, Razman Zakaria.

Razman Yang juga Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, dalam ucapannya meminta semua petugas menggerakkan semua jentera PRU15 dengan semaksima mungkin.

Beliau menggesa supaya semua yang terlibat turun ke lapangan dengan tugasan masing-masing sepenuh masa untuk sepanjang sebulan ini dengan semangat untuk menang.

Mengakhiri ucapannya, bekas Exco Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Negeri Perak itu memanjatkan doa memohon pertolongan Allah sambil diaminkan para hadirin.

Hadir sama Timbalan YDP PAS kawasan, Ustaz Mohd Hanafiah Idris, Naib YDP PAS kawasan, Mohd Jamil Yahaya dan Ketua Dewan Ulama PAS kawasan, Ustaz Mohamad Hushairi Ariffin, Ketua Dewan Pemuda PAS Lenggong, Ustaz Muhammad Rifa’at Razman, dan Ketua BERSATU Bahagian Lenggong, Khairul Azwan Mohd Nor..

Pada majlis sama juga, lebih 30 Ketua Unit Daerah Mengundi (UDM) seluruh Parlimen Lenggong menerima bendera PN sebagai simbolik kepada pelancaran JPRU15.