Home Kenyataan Media PAS Terengganu

Terengganu laksana pelbagai langkah elak rakyat hadapi tekanan emosi

41
SHARE

Terengganu Laksana Pelbagai Langkah Elak Rakyat Hadapi Tekanan Emosi

1. Pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilapor menimbulkan gangguan emosi dalam kalangan rakyat.

2. Ini mungkin berlaku disebabkan perubahan persekitaran kerja seperti perlu bekerja dari rumah, hilang punca pendapatan dan bimbang terhadap keselamatan diri serta keluarga.

3. Isu ini bukan kecil dan tidak harus dipolitikkan sebaliknya semua pihak wajib bersatu bagi membendung malapetaka ini.

4. Rakyat Terengganu turut tidak terlepas dengan masalah ini dan difahamkan ramai terkesan kerana masalah ekonomi disebabkan hilang kerja.

5. Rentetan itu, kerajaan negeri mengambil pelbagai langkah dalam mengelakkan emosi rakyat terus terhimpit, banyak solusi dilaksanakan untuk menyelesaikan isu ini termasuk dengan mengadakan pelbagai program keagamaan.

6. Beberapa aktiviti telah disusun antaranya Hari Munajat Rakyat secara atas talian yang berlangsung pada setiap hari Khamis hingga Jumaat, program ini menampilkan asatizah-asatizah ternama Terengganu.

7. Selain itu, media sosial yang ada pada hari ini terus dimanfaatkan dengan kuliah-kuliah dhuha dan maghrib setiap hari bertujuan mendidik masyarakat dengan ilmu agama.

8. Memahami golongan wanita paling terjejas emosi di waktu sukar ini, kerajaan melalui Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) turut membuka Talian Hotline untuk wanita di Terengganu meluahkan masalah yang dihadapi.

9. Talian khusus ini diwujudkan kerana sebelum ini ramai wanita datang mengadu nasib antaranya ada yang meminta cadangan pusat penempatan untuk masalah ketagihan dadah, pusat untuk melindungi diri daripada didera suami, isu mengandung luar nikah dan pelbagai lagi masalah yang membelenggu diri.

10.Insya-Allah agensi kerajaan akan berusaha membantu wanita Terengganu agar nasib terbela, tidak keseorangan dan mengeluarkan mereka daripada kemelut berpanjangan.

11. Di samping itu, rakyat Terengganu digalakkan untuk membuat aduan kepada pihak Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) dan Pusat Khidmat DUN masing-masing untuk membantu mencari penyelesaian terbaik dalam hal ini.

12. Akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa agar segala tindakan yang dilaksanakan kerajaan ini dapat membantu rakyat keluar daripadanya masalah emosi.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah,
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu.