Home Berita PAS Melaka

Rencana | ‘Tok Leman’ umum Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021

91
SHARE

Oleh IBNU JANIE


“SAYA
 baca komen dan terima pelbagai saranan di media sosial. Ada juga yang mesej saya secara peribadi. Ada yang mengatakan ‘Tok Leman, tolonglah perhebatkan lagi bantuan kebajikan kepada kami’.

“Baiklah, kalau begitu pintanya, maka di hari Jumaat penghulu hari ini, kerajaan Negeri Melaka ingin mengumumkan melalui Pakej Sejahtera Bersama ini sebanyak 60 inisiatif dengan keseluruhan peruntukan mencecah RM174.5 juta.”

Demikian dinyatakan oleh Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali yang mesra membahasakan dirinya sebagai ‘Tok Leman’ ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Melakaku Maju Jaya 2021, Sejahtera Bersama.

Pembentangan ini dipancarkan secara langsung di Facebook rasmi beliau pada Jumaat 18 Jun lepas.

Secara keseluruhan, Pakej Sejahtera Bersama ini melibatkan peruntukan mencecah RM174.53 juta, yang disalurkan melalui pelbagai jabatan dan agensi Kerajaan Melaka, meliputi pelbagai inisiatif sedia ada, diluluskan melalui Belanjawan 2021 serta inisiatif baharu yang telah diumumkan beliau itu.

Pakej ini bertujuan bagi pemulihan, menggerak dan merancakkan aktiviti ekonomi Negeri Melaka, supaya rakyat dapat menjana serta menambah pendapatan.

Kerajaan Negeri Melaka turut mengikut jejak Kerajaan Pusat dengan Ketua Menteri dan semua barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka membuat pemotongan elaun sebanyak 10 peratus dari Januari hingga Disember tahun ini. Jumlah pemotongan ini ialah sebanyak RM102 ribu.

Ini diikuti oleh Penjawat Awam Negeri Melaka melibatkan 1707 penjawat daripada Gred 29 dan ke atas. Pemotongan sebahagian daripada elaun ITK dan ITKA mereka ini akan dibuat untuk bulan Julai hingga September tahun ini melibatkan jumlah RM78 ribu.

Bantuan untuk rakyat

Daripada 60 inisiatif itu sebanyak 14 bantuan terus kepada rakyat dalam bentuk bantuan kit makanan, pembayaran tunai secara one-off melibatkan golongan miskin dan B40 melalui beberapa jabatan dan agensi kerajaan seperti Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan lain-lain lagi. Sebahagiannya penulis nyatakan di dalam rencana ini.

Antaranya, bagi golongan rentan daripada kalangan B40 yang bergantung kepada pendapatan dan gaji harian seperti penarik beca, pemandu bas atau van pelancongan, guru-guru taska dan pemandu kereta sewa Grab, kerajaan negeri menyediakan ‘Bantuan Ma’niah Al Amal’ secara one-off.

Bantuan bernilai RM350 ini akan diberi bermula Jun hingga Ogos 2021 melibatkan peruntukan sebanyak RM2.1 juta yang akan memanfaatkan 6000 orang golongan ini.

Selain itu bantuan ‘Kit Makanan Nutrisi Sejahtera’ yang bernilai RM100 setiap kit telah pun diedarkan semenjak Februari tahun ini. Kit ini yang terdiri daripada makanan asas memanfaatkan 32,200 penerima daripada golongan B40 warganegara Malaysia yang bermastautin di Melaka melibatkan peruntukan sebanyak RM3.22 juta.

RM936 ribu pula diperuntukan untuk ‘Bantuan Kit Makanan Musaadah’ yang terdiri daripada 23,400 kit makanan kecemasan untuk masyarakat yang terputus bekalan. Bantuan ini disalurkan hingga bulan Ogos tahun ini melalui 28 Japerun, 186 buah masjid serta beberapa NGO Islam.

Demi memastikan anak-anak golongan kurang berkemampuan dapat melalui PDPR dengan selesa, kerajaan negeri memperuntukan sejumlah RM3 juta bagi bantuan pembelian tablet dan langganan internet untuk setahun.

Bantuan khas ini bernilai RM1000 yang akan memanfaatkan 3000 penerima bantuan saraan anak sekolah/IPT bulanan MAIM yang berdaftar, bertujuan untuk mengurangkan keciciran pelajaran dalam kalangan anak-anak B40 ini.

Penerima adalah daripada keluarga B40 yang mempunyai tanggungan sekurang-kurangnya tiga orang yang berumur antara tujuh dan 21 tahun yang masih bersekolah atau menuntut.

Sebagai menghargai pengorbanan dan jasa mereka yang terpaksa bertugas dalam suasana Covid-19 ini kerajaan Melaka memberikan bayaran insentif one-off untuk frontliners pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ini melibatkan seramai 554 frontliners PBT yang terdiri daripada penguatkuasa, perlesenan, kebersihan dan kesihatan persekitaran. Mereka akan menerima RM100 setiap seorang di mana pembayaran akan dibuat dari 1 hingga 14 Jun 2021 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM55400.

Penangguhan, pengecualian, pengurangan atau pelanjutan tempoh

Selain bantuan terus kepada rakyat tadi Kerajaan Negeri Melaka turut memperkenalkan sebanyak 19 insentif berbentuk pengecualian, penangguhan, pengurangan atau pelanjutan tempoh pembayaran atau caj.

Antaranya penangguhan bayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Melaka (TAPEM) kepada 7634 peminjam TAPEM yang masih dalam tempoh penjadualan pembayaran melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM1.73 juta.

Kerajaan Negeri Melaka juga bermurah hati memperkenalkan insentif Caj Parkir Percuma bermula 1 Jun hingga 31 Julai 2021 melibatkan 33,083 petak parkir awam PBT melibatkan implikasi kos sebanyak RM1.1 juta.

Selain itu juga, tiada pemotongan bekalan air akan dibuat kepada semua pemegang akaun bil air sepanjang bulan Jun dan Julai 2021. Inisiatif ini akan memanfaatkan 184 ribu pemegang akaun pengguna air berdaftar dengan implikasi kewangan kepada kerajaan sebanyak RM20.72 juta.

Insentif pelancongan

Sebagai sebuah negeri pelancongan sudah pasti industri yang menjadi nadi Negeri Melaka ini terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 ini.

Kerana itu sebanyak empat insentif untuk membantu industri pelancongan turut diberikan di dalam pakej rangsangan ini.

Antara insentif yang diumumkan ialah pemberian bantuan kepada pemandu pelancong, pemandu bas persiaran dan pengusaha beca secara one-off sebanyak RM200. Bantuan ini telah dibayar pada Februari 2021 melibatkan 573 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM115 ribu.

Selain itu kerajaan negeri turut memberi bantuan one-off antara RM1000 dan RM5000 sebagai Insentif Penggiat Industri Pelancongan Negeri Melaka yang memanfaatkan 199 penerima dengan jumlah peruntukan sebanyak RM254 ribu.

Insentif perniagaan

Kerajaan Melaka telah menunjukkan kesungguhan untuk membantu para peniaga kecil yang terjejas perniagaannya akibat Covid-19 ini dengan memperkenalkan polisi Melaka Bebas Berniaga semenjak Februari lepas.

Polisi ini telah membantu banyak peniaga kecil yang dibenarkan berniaga di mana-mana lokasi yang sesuai dengan memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Untuk pakej kali ini sebanyak 15 lagi insentif untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana telah diperkenalkan oleh kerajaan Melaka.

Antaranya, Ketua Menteri Melaka dalam ucapannya itu mengumumkan polisi Melaka Bebas Berniaga dilanjutkan lagi sepanjang tahun 2021 untuk penjaja dan peniaga kecil dengan mematuhi SOP sebagai salah daripada 15 insentif yang diperkenalkan itu.

Selain itu, turut diperkenalkan ialah Dana Bantuan Kasih Niaga bernilai RM1000 untuk usahawan. Bantuan ini telah dimulakan dari Mac dan berterusan hingga Julai ini.

Bantuan ini memanfaatkan 1000 usahawan dan diselaraskan oleh Pejabat Daerah. Menurut Ketua Menteri Melaka sebanyak 781 permohonan sudah diterima dan diproses setakat ini dengan peruntukan keseluruhan bernilai RM1 juta.

Ini adalah sebahagian daripada 60 insentif yang telah diumumkan. Kesemua insentif ini menunjukkan keprihatinan kerajaan Negeri Melaka di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Utama (Dr) Sulaiman Md Ali yang dapat menyelam dan memahami denyut nadi dan kesusahan rakyat dalam berhadapan dengan pandemik Covid-19 ini.

Penulis adalah Editor Berita PAS Melaka dan WARM, Jabatan Penerangan PAS Melaka

Rencana ini juga telah disiarkan di Harakah cetak pada 25 Jun 2021