Home Berita PAS Johor

Tempah bahaya, angkara kemaruk kuasa

389
SHARE

TEMPAH BAHAYA, ANGKARA KEMARUK KUASA

Kalau lupa mari sama-sama kita ingatkan. Mula-mula Covid-19 melanda negara, pada waktu itu Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa mengganggap wabak ini yang mulanya popular dengan nama Korona Virus adalah kecil dan perkara biasa dengan kurang kesungguhan dalam menanganinya ini dibuktikan melalui kenyataan dari beberapa orang Menteri Kerajaan ketika itu.

Ringkas cerita, kemudian kerajaan bertukar tangan kepada kerajaan baharu iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) menjadi Perdana Menteri (PM). Sebagai PM yang baru dilantik dengan iltizam dan semangat yang berkobar-kobar TSMY bersama jemaah menterinya terus bertindak dengan perancangan strategi serampang tiga mata. Covid-19 ditangani, rakyat dibantu dan kesejahtaraan negara dipulihkan.

Keberkesanan strategi Kerajaan PN ini terbukti dengan negara kita diiktiraf antara lima negara yang paling berjaya dalam menangani wabak Covid-19 dan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diberi Anugerah Brand Laureate 2020 oleh The Worlds Brands Foundation dan Yang Di-Pertuan Agong (YDPA) pula mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) dengan gelaran Tan Sri. Tahniah juga kepada para petugas benteng hadapan ‘FRONTLINERS‘ yang tidak mengenal lelah dan jemu.

Dari tahap PKP kemudian negara melangkah ke tahap PKP Pemulihan di mana rakyat mulai merasa lega kerana sudah boleh merentas daerah dan negeri, hampir semua sektor ekonomi telah mula kembali beroperasi dan sekolah-sekolah mulai dibuka seperti biasa.

Tetapi negara masih belum menang dengan Covid-19, peraturan kesihatan dan SOP masih menjadi ‘Norma Baharu’ yang dikekalkan.

Pada 30 Julai 2020 Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan. Kempen pilihanraya pun bermula dan pengundian berlangsung pada 26 September 2020.

Bermula dari sinilah Wabak Covid-19 kembali mengganas ke seluruh negara dengan keadaan seperti sukar dikawal sehingga jangkitan berlaku melebihi sembilan ribu orang sehari hingga ke hari ini belum pernah lagi jangkitan di bawah angka seribu dan sekali lagi kerajaan terpaksa melaksanakan perintah ‘Lockdown’.

Tidakkah tragedi buruk yang berlaku di depan mata kita ini boleh dijadikan pengajaran oleh pihak yang ‘Kemaruk Kuasa’ yang terdesak meminta pilihanraya segera diadakan untuk bersabar dahulu, tunggu dahulu sehingga keadaan benar-benar pulih baru diadakan pilihanraya. Cuba kita bayangkan apa yang akan terjadi jika dalam tempoh terdekat ini pilihanraya diadakan.

Kami ingin mengingatkan ‘Jangan Mudah Lupa’. Waktu ini sepatutnya semua pihak berganding bahu dengan kerajaan untuk menjayakan ‘Pelan Pemulihan’ yang dirancang dan sedang dalam perlaksanaan agar berjaya dicapai dan negara kita bebas dari belenggu wabak yang bahaya ini.

Selepas itu nanti barulah kita kembali berpolitik dan menyuburkan semula demokrasi dengan mengamalkan Politik Matang dan Sejahtera sebagai budaya politik baharu dalam negara.

Rusman Kemin

Ketua Penerangan

Badan Perhubungan PAS Negeri Johor

#KerajaanPrihatin

#MenangBersama

#IslamMemperkukuhPerpaduan