Home Berita PAS Kelantan

Tekankan isu royalti minyak

862
SHARE

PASIR MAS – Pemuda PAS Kelantan berharap kerajaan negeri memberikan tumpuan khusus kepada isu tuntutan royalti minyak sebanyak lima peratus ketika bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad nanti.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara itu selaras dengan perjanjian petroleum antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri ini pada 1974.

“Kita juga amat berharap Kerajaan Persekutuan yang baru di bawah Pakatan Harapan dapat menunaikan perjanjian yang telah dibuat pada 1975 itu.

“Kami hanya menuntut lima peratus bayaran royalti dan bukan 20 peratus sebagaimana dijanjikan oleh pimpinan Pakatan Harapan Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program turun padang dan berbuka puasa bersama ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Banggol Perdana yang turut dihadiri pengerusinya, Nor Alam Majid.

Pada majlis tersebut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menyampaikan tazkirah ringkas.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli menyambut baik hasrat Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob untuk mengadakan pertemuan dengan perdana menteri.

Katanya, pertemuan itu penting bagi mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan negeri dengan Pusat.

“Ini amat bertepatan dengan konsep feudalisme antara negeri dengan persekutuan.

“Walau apa pun yang berlaku, Kelantan tetap sebahagian daripada Persekutuan Malaysia,” katanya. SINAR HARIAN 27/5/2018