Home Tazkirah Ramadhan DMPM

Tazkirah Ramadhan : Siri 15/1438H

948
SHARE

Tadabbur Al Quran

Juzuk 15 : Surah Al-Isra’: Ayat 16 dan 17

Firman Allah serta terjemahannya

Dan jika kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang yang hidup mewah di negeri itu (agar mentaati Allah), tetapi bila mereka melakukan kedurhakaan di dalam (negeri) itu, maka sepantasnya berlakulah terhadapnya perkataan (hukuman Kami) kemudian Kami binasakan sama sekali (negeri itu).

Dan berapa banyak kaum setelah Nuh, yang telah Kami binasakan. Dan cukuplah Tuhanmu Yang Maha Mengetahui, Maha Melihat dosa hamba-hambaNya.

Tafsir ringkas:

1. Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa seksaan yang menghancurkan tidak akan berlaku sekiranya para pembesar di suatu negeri mentaati perintah Allah S.W.T. Namun, sekiranya mereka memilih untuk melakukan kemaksiatan, kemungkaran, kefasikan, kezaliman daripada ketaatan pada Allah, maka dengan sepantasnya Allah akan menghukum dengan dihancurkan dan dibinasakan mereka. Ibnu Jarir mengatakan bahawa ‘orang yang hidup mewah’ dalam ayat tersebut adalah pemimpin atau dikenali sebagai pembesar negeri.

2. Buktinya sudah berapa banyak negeri yang Allah hancurkan disebabkan oleh para pemimpin dan orang-orang kayanya hidup bermewah-mewah dan melakukan berbagai dosa, seperti yang terjadi pada beberapa kaum setelah Nabi Nuh seperti ‘Ad, Tsamud, Fir’aun dan sebagainya. Justeru itulah kita umat Nabi Muhammad SAW hendaknya dapat mengambil pengajaran.

3. Namun kebinasaan dan kehancuran ke atas suatu negeri tidak akan berlaku sebelum pemimpin negeri tersebut diberi amaran untuk patuh dan taat pada perintah Allah SWT.

4. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui dan Melihat segala sesuatu, tidak ada sedikit pun kondisi makhluk yang tidak Dia ketahui. Allah SWT Maha Kuasa atas segala hal yang mungkin terjadi, sehingga Allah Maha Kuasa untuk memberikan balasan kepada semua orang sesuai dengan haknya masing-masing.

Pengajaran:

1. Para pemimpin dan rakyat mestilah sentiasa waspada bahawa musibah dan bencana akan berlaku pada sesuatu negeri atau masyarakat yang melakukan perkara yang Allah murka dengan berleluasanya kemaksiatan atau dosa.

2. Wajibkan diri untuk terlibat dalam sebarang usaha dan kerja-kerja amar makruf nahi mungkar dalam masyarakat kerana kemaksiatan yang berleluasa di sesuatu negeri tanpa adanya tindakan untuk mencegahnya, maka ia akan menjadi punca celakanya seluruh penduduk tempat tersebut. Perlu diingat bahawa kerja amar makruf nahi mungkar ini mengikut sunnahnya mestilah secara berjemaah dan berorganisasi.

3. Rakyat mestilah peka tentang siapa pemimpin mereka dan siapa yang memegang kuasa dan tampuk pemerintahan. Gunakanlah sepenuhnya hak sebagai rakyat untuk menentukan siapa yang akan memimpin. Dengan kuasa yang diberikan kepada pemimpin yang menjadikan Allah yang utama, maka kemaksiatan dapat dicegah seterusnya negeri akan selamat daripada kebinasaan dan kehancuran.

4. Kita mesti menyedari akan kepentingan pemilihan pemimpin sama ada di peringkat negeri atau negara. Pilihlah pemimpin yang membawa kita kepada Allah bukan yang menjauhkan kita daripada Allah SWT. Manfaatkanlah ruang demokrasi yang diamalkan di Malaysia untuk memilih ketua yang kita pasti akan membentuk negara kita mengikut acuan Islam.

5. Cintailah negara kita kerana di tangan kitalah yang menentukan halatuju negara pada masa depan. Semoga misi membina negara ‘Sejahtera bersama Islam’ dapat dilaksanakan untuk kebaikan semua.

Rujukan: Tafsir Al-Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan Kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak
15 Ramadhan 1438 / 10 Jun 2017

 

{jathumbnail off}