Home Tadabbur Al-Quran

Tadabbur Al-Quran Surah Al-Ahzab: Siri 11

379
SHARE

📓📓 Tadabbur Al-Quran 📓📓
Surah Al-Ahzab: Siri 11

Ayat 28-29: Seruan kepada Nabi Buat Para Isterinya Dalam Membuat antara Dua Pilihan

🖋 Firman Allah serta terjemahannya:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ قُل لِّأَزْوَٰجِكَ إِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ ٱلْحَيَوٰةَ ٱلدُّنْيَا وَزِينَتَهَا فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, “Jika kamu menginginkan kehidupan di dunia ini dan perhiasannya, maka marilah agar kuberikan kepadamu kesenangan dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.

وَإِن كُنتُنَّ تُرِدْنَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلدَّارَ الآخِرَةَ فَإِنَّ ٱللَّهَ أَعَدَّ لِلْمُحْسِنَٰتِ مِنكُنَّ أَجْرًا عَظِيمًا

Dan jika kamu menginginkan (keredhaan) Allah dan RasulNya dan (kesenangan) di akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan pahala yang besar bagi siapa yang berbuat baik di antara kamu.

📖 Tafsir ringkas:

1. Setelah menyatakan tentang situasi yang berlaku semasa perang Ahzab, Allah SWT mengkhabarkan pula tentang beberapa peringatan buat para isteri Nabi SAW dan para mukminat.

2. Ayat ini adalah permulaan kepada hukum berkaitan kekeluargaan yang menjadi subtopik dalam surah al-Ahzab. Peristiwa dalam ayat ini berlaku setelah habis perang Ahzab, ketika mana para sahabat dan Rasulullah SAW mendapat harta rampasan yang banyak dari Bani Quraizah. Keadaan berubah dengan mendadak selepas peperangan di mana selepas peperangan, harta menjadi banyak, harta rampasan perang diagihkan kepada para sahabat yang terlibat dalam peperangan. Walaupun para sahabat dan Nabi SAW telah mendapat sejumlah harta, namun para isteri baginda tidak mendapat bahagian daripada harta tersebut. Hal ini membawa kepada perbincangan sesama isteri Nabi SAW untuk mereka menghantar wakil kepada Nabi SAW untuk meminta supaya peruntukan untuk keperluan dapur mereka ditambah.

3. Dalam ayat 28, baginda disuruh untuk memberitahu kepada para isterinya, sekiranya mereka mahukan kemewahan dunia, maka baginda dan Allah SWT boleh berikan kepada mereka dengan sebanyak-banyaknya tetapi mereka tidak boleh lagi bersama Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Mereka boleh diceraikan dengan cara yang baik iaitu mereka dipulangkan kepada keluarga mereka.

4. Seterusnya dalam ayat 29, Allah SWT menyatakan jika para isteri Nabi SAW mahukan redha Allah SWT dan Rasulullah SAW serta sanggup untuk bersama baginda, Allah akan membantu mereka. Jika mereka mahukan kedudukan yang tinggi di akhirat kelak, mereka perlulah berkorban dan sanggup menghadapi segala kesukaran.

5. Setelah ayat ini turun, maka Nabi memanggil isteri-isterinya dan menyuruh mereka berfikir. Mereka perlu membuat pilihan samada terus bersama baginda ataupun berpisah. Lalu mereka pun memilih untuk terus bersama baginda.

🎀 Pengajaran:

1. Kita dituntut supaya mengutamakan pilihan ‘akhirat’ dalam membuat pilihan dan sesungguhnya itulah sebaik-baik pilihan. Allah SWT akan membantu orang-orang mukmin yang memilih untuk berkorban di dunia dan mengutamakan kehidupan akhirat yang kekal abadi berbanding kehidupan dunia yang sementara demi mendapatkan keredhaan Allah SWT dan kesenangan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah menjanjikan balasan yang besar kepada mereka yang bersabar menghadapi segala ujian dunia.

2. Allah akan membantu orang yang sabar. Kita hendaklah bersabar dalam menghadapi segala ujian dalam kehidupan berkeluarga dan segala ujian dunia termasuklah ujian wabak yang sedang melanda negara kita sekarang.

3. Para isteri hendaklah sentiasa bersyukur dan menghargai pemberian suami serta tidak menyakiti hati suami dengan meminta sesuatu yang di luar kemampuan suami.

📚 Rujukan:
1. Tafsir Ibn Kathir

Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Dakwah DMPK Gombak.
4 Mei 2020 / 11 Ramadhan 1441