Tazkirah Ramadhan Siri 11/1438H
Tadabbur Al Quran Juzuk 11: Surah At-Taubah: Ayat 111
Terjemahannya:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang Mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan Syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh ataupun terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan juga al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar. (ayat 111)
Tafsir ringkas:
1. Allah SWT memberi ungkapan yang sangat indah bagi menimbulkan keghairahan dalam diri orang-orang mukmin untuk berjihad. Allah SWT menggambarkan jihad sebagai suatu ikatan jual beli yang sangat menguntungkan manusia, di atas pengorbanan yang telah mereka berikan berupa harta benda dan jiwa raga yang akan ditukar dengan sesuatu yang sangat berharga iaitu Syurga.
2. Apabila keluar ke jalan Allah, balasannya tetaplah Syurga tidak kiralah samada membunuh (menang) ataupun dibunuh (syahid).
3. Penegasan janji Allah ini telah dicatatkan bukan saja di dalam al-Quran, bahkan Taurat dan Injil juga.
4. Allah tidak akan pernah memungkiri janji kerana Dia Maha Kaya.5. Allah juga menyuruh Mukmin yang melaksanakan isi perjanjian ini bergembira kerana Dia akan memberi kemenangan yang besar & kenikmatan yang abadi.
Pengajaran:
1. Selalulah motivasikan diri untuk berjuang menegakkan agama Allah dengan diri dan harta benda kerana dua elemen ini jika dicurahkan ke jalan Allah akan menjadi barang dagangan yang sangat mahal di sisiNya. Harganya ialah Syurga.
2. Sentiasalah mengambil bahagian dan menyokong apa sahaja usaha ke arah penegakan syariat Allah SWT. Ini juga merupakan satu jihad jika dilakukan bersungguh-sungguh, penuh keyakinan, ikhlas dan di atas dasar yang benar.
3. Jangan fikir untuk berhenti dan putus asa. Teruskan kerja sehingga meraih kemenangan. Yakinlah ada waktunya Allah akan bagi nikmat kemenangan dan kesenangan itu di dunia lagi.
4. Belilah buku-buku tentang perjuangan. Bacalah kisah-kisah para pejuang, ramai yang syahid sebelum mencapai kemenangan. Menang ataupun belum, kedua-dua posisi ini tetap akan diberi balasan syurga.
Rujukan: Tafsir Ibnu Kathir
Disusun oleh:
Lajnah Dakwah DMPM dengan kerjasama Ameerah dan Lajnah Penerangan & IT DMPK Gombak.
11 Ramadhan 1438/6 Jun 2017