Home Berita PAS Melaka

Tazkirah Ramadan Bersama Dewan Ulamak PAS Negeri Melaka Siri 27

742
SHARE

28 RAMADAN 1441
21 MEI 2020


Muslim yang Baik

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA daripada Nabi SAW bersabda: “Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Hadith riwayat al-Bukhari,No. 10, 6484, Muslim, No. 40)

Matan Hadith:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ.
]صحيح البخاري , كتاب الإيمان , باب المسلم من سلم المسلمون من لسانه ويده , حديث 10 , عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنه[

Pengajaran Hadith :

1. Asal perkataan Islam adalah dari perkataan Salam yang bermaksud selamat sejahtera. Perkataan Muslim bererti orang yang selamat iaitu yang memberi keselamatan dan menerima keselamatan. Justeru, jika seseorang itu tiada sifat selamat dalam dirinya seumpama tiada Islam dalam dirinya.

2. Muslim yang sempurna mestilah menunaikan rukun-rukun agama sedaya upayanya dan tidak sekali-kali akan melakukan sebarang angkara dan pencerobohan terhadap orang yang tidak mengganggu keselamatannya, sama ada dengan lidahnya atau dengan tangannya atau dengan apa jua sekalipun. Sebaliknya jika seseorang Muslim sanggup melakukan sebarang perkara yang merosakkan orang lain, maka dia termasuk dalam golongan orang yang tidak sempurna Islamnya.

3. Seseorang Muslim yang baik juga ialah apabila dia mampu menjaga keselamatan orang lain selepas dirinya berhijrah meninggalkan perkara-perkara buruk yang dimurkai Allah SWT.

Sumber Rujukan :

1- Kitab Sahih al-Bukhari
2- Kitab Fathul Bari Syarh Sahih Al-Bukhari Li Ibn Hajar Al-Asqolani
3- Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li An-Nawawi
4- Mastika Hadith


Ganjaran Menunjukkan kepada Amalan Kebaikan

Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya.”
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 1893)

Matan hadith :

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.
]صحيح مسلم ، كتاب الإمارة ، باب فضل إعانة الغازي في سبيل الله بمركوب وغيره، وخلافته في أهله بخير ، حديث رقم 1893[

Pengajaran Hadith :

1. Antara keutamaan dakwah ke jalan Allah SWT ialah menunjukkan kebaikan kepada orang lain sama ada untuk kebaikan di dunia atau di akhirat dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala.

2. Amalan menunjukkan kepada kebaikan merupakan amalan yang boleh dirasai oleh orang lain dan lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang manfaatnya hanya terbatas untuk diri sendiri.

3. Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan. Inilah kelebihan dan anugerah besar daripada Allah SWT yang Maha Pemurah Lagi Maha Besar Kurniaan-Nya.

Sumber rujukan :

1. Kitab Sahih Muslim
2. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi

Tazkirah Ramadan bersama:
USTAZ SHAFIQ ISMAIL


Wartawan Rakyat Melaka (WARM)